Thursday, May 8, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perut melecur selepas minum air mineral berkarbonat

    SEPANYOL, 7 MEI – Seorang lelaki dari Sepanyol berusia 42 tahun tidak dapat makan atau minum apa-apa selama tiga minggu selepas meminum air mineral berkarbonat di sebuah restoran.

    Pablo Gonzalez, seorang ahli perniagaan dari Salvaterra de Mino, terpaksa dimasukkan ke hospital di Vigo sejak 12 April lalu selepas mengalami insiden pelik yang masih belum dapat dijelaskan.

    Semasa makan bersama rakan-rakannya di sebuah restoran tapas, Gonzalez memesan sebotol air mineral berkarbonat bersama segelas ais dan sehiris lemon.

    Botol air itu daripada jenama terkenal dan kelihatan seperti telah ditutup dengan betul, menurut ingatannya.

    Namun, apa yang jelas diingatannya ialah rasa terbakar yang kuat dalam mulut hanya beberapa saat selepas meneguk air tersebut buat kali pertama.

    Gambar Freepik

    Dengan reaksi serta-merta, dia melompat dari kerusinya dan apabila melihat ke dalam gelas, dia mendapati cecair itu berwarna kekuningan.

    Dia meneguk sedikit Coca-Cola milik salah seorang rakannya dan segera berlari ke tandas restoran untuk membilas mulutnya.

    Ambulans membawanya terus ke Hospital Povisa, di mana doktor hanya mampu mengesahkan dia mengalami lecur dalaman dan cuba mengurangkan kesakitannya dengan ubat tahan sakit.

    Beliau memberitahu akhbar tempatan El Faro de Vigo, esofagus dan perutnya terbakar teruk hingga menjadi hitam, manakala mulutnya tidak teruk kerana dia sempat membilasnya dengan air sejurus selepas meneguk air berkarbonat tersebut.

    Selama hampir 15 hari selepas insiden tersebut, Pablo Gonzalez tidak dapat menelan sebarang makanan atau cecair.

    Perutnya mula sembuh, tetapi doktor menyatakan bahawa esofagusnya masih rosak teruk.

    Pada 28 April, beliau akhirnya dapat meneguk air buat pertama kali, tetapi doktor masih tidak pasti sama ada beliau akan sembuh sepenuhnya atau berapa lama tempoh pemulihannya.

    Punca kepada kecederaan terbakar itu masih belum diketahui. Pihak polis telah menyemak rakaman kamera litar tertutup bagi mengenal pasti sebarang perbuatan khianat tetapi masih belum menemui apa-apa yang relevan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda