BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Laos sempena Hari Kebangsaan ke-44 dan Emiriah Arab Bersatu sempena Hari Kebangsaan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan mengutus tahniah kepada Presiden Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Bounnhang Vorachit dan Perdana Menteri Republik Demokraktik Rakyat Laos, TYT Dr Thongloun Sisoulith serta kerajaan dan rakyat sempena Hari Kebangsaan ke-44.
Dalam perutusan kepada TYT Bounnhang Vorachit, Baginda amat menghargai persahabatan dan hubungan muhibah yang sekian lama terjalin antara kedua-dua buah negara dan berharap akan terus bekerjasama dengan Tuan Yang Terutama bagi meningkatkan kerjasama yang sangat bernilai ini untuk kemanfaatan kedua-dua buah negara dan rakyat.
Sementara dalam perutusan kepada TYT Dr Thongloun Sisoulith, Baginda menzahirkan kegembiraan mengalu-alukan kedatangan Tuan Yang Terutama pada awal tahun ini ke Negara Brunei Darussalam yang merupakan kesempatan yang baik dalam mengukuhkan lagi komitmen ke arah mengeratkan persahabatan dan kerjasama yang sangat bernilai di antara dua buah negara di peringkat dua hala mahu pun perkongsian serantau dalam ASEAN.
Pada mengakhiri perutusan tersebut, Baginda menyampaikan salam muhibah kepada presiden dan perdana menteri dan berharap kedua-duanya sentiasa dalam keadaan kesihatan dan kebahagiaan berpanjangan dan bergembira dalam menyambut perayaan tersebut.
Baginda turut mengutus tahniah kepada Presiden Emiriah Arab Bersatu dan Pemerintah Abu Dhabi, His Highness Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan dan Naib Presiden, Perdana Menteri, Pemerintah Dubai dan Menteri Pertahanan Emiriah Arab Bersatu, His Highness Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum dan kerajaan serta rakyat Emiriah Arab Bersatu sempena Hari Kebangsaannya.
Dalam titah perutusan kepada His Highness Syeikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, Baginda berasa gembira Negara Brunei Darussalam dan Emiriah Arab Bersatu terus menikmati persahabatan yang mesra dan kerjasama yang bernilai dan berharap akan terus dapat mengukuhkan pertalian persaudaraan ini bagi kemanfaatan kedua-dua buah negara.
Sementara dalam perutusan kepada His Highness Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Baginda menyatakan bahawa Brunei dan Emiriah Arab Bersatu sekian lama telah menikmati pertalian dan persahabatan mesra dan seterusnya Baginda percaya persahabatan akrab ini akan terus diperkukuhkan lagi di masa-masa akan datang. Baginda mengakhiri titah perutusan itu dengan berdoa semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan kesihatan dan kebahagiaan berpanjangan kepada His Highness berdua dan kerabat diraja serta rakyat Emiriah Arab Bersatu akan terus menikmati kemajuan dan kemakmuran yang berterusan.