BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Gabenor-Jeneral, Commander in-Chief of Canada, Puan Yang Terutama, Julie Payette dan Perdana Menteri Kanada, Tuan Yang Terutama Justin PJ Trudeau serta kerajaan dan rakyat Kanada bersempena Hari Kanada.
Dalam perutusan kepada Julie Payette, Baginda Sultan merakamkan penghargaan terhadap persahabatan erat dan kerjasama yang sekian lama dinikmati kedua-dua buah negara dan rakyat masing-masing dan berharap akan dapat terus meningkatkan hubungan yang penting ini di peringkat dua hala mahu pun serantau dan sebagai rakan kongsi antarabangsa.
Sementara dalam titah perutusan kepada Justin PJ Trudeau, Baginda sangat menghargai persahabatan dan kerjasama rapat yang dinikmati selama ini dan berharap dapat mengukuhkan lagi pertalian yang penting ini dalam rangkaian kerjasama dua hala mahupun antarabangsa.
Pada mengakhiri titah-titah perutusan ini, Baginda menyampaikan ucapan muhibah kepada kedua-duanya dan keluarga masing-masing serta berharap kedua-duanya dan rakyat Kanada bergembira menyambut perayaan tersebut.