Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PERWIRA meterai pakatan strategik, perkukuh industri halal serantau

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Persatuan Veteran Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (PERWIRA) melalui syarikat khasnya, BRUWIRA Industry, baru-baru ini menandatangani perjanjian pakatan strategik bersama International Halal Trade Hub & Services (IHTHS Corporation) dan EREKY Co. Ltd. (GREENTECH Biolab Co. Ltd.) dari Thailand.

    Perjanjian tersebut menandakan penubuhan Pusat Perniagaan Sains Islam & Perkhidmatan Pengesahan Standard Halal (ISHSVS) bagi VECONAC PERWIRA di Brunei, sekali gus memperkukuhkan peranan PERWIRA dalam memberikan peluang ekonomi baharu kepada para veteran dengan menceburi industri halal yang semakin berkembang pesat di peringkat global.

    Majlis penandatanganan berlangsung di Wisma PERWIRA, Jalan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, disaksikan oleh Ahli Lembaga Eksekutif PERWIRA serta Pengarah VECONAC Business Centre VARBAF.

    Hadir bagi menandatangani perjanjian bagi pihak persatuan berkenaan ialah Presiden PERWIRA, Leftenan Kolonel (B) Awang Ramli bin Haji Abdul Hadis, sekali gus menandakan kepentingan serantau dan antarabangsa melalui inisiatif rantaian nilai global.

    Antara sorotan utama pakatan strategik berkenaan ialah ujian produk halal, perkongsian ilmu, latihan dan khidmat nasihat serta pemerkasaan ekonomi.

    Dalam kenyataannya, Leftenan Kolonel (B) Awang Ramli berkata, “Pakatan strategik ini adalah bukti komitmen kami terhadap kebajikan serta masa depan para veteran. Dengan menceburi industri halal, kami bukan sahaja membuka peluang baharu kepada ahli-ahli tetapi juga menempatkan Brunei sebagai negara penting dalam ekonomi halal global.”

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IHTHS Corporation, Dayang Siti Nurr Saffa Anattii menegaskan, “Kami berbangga membawa kepakaran dalam piawaian halal dan pembangunan perniagaan menerusi kerjasama ini. ISHSVS akan menjadi sumber penting, merapatkan jurang bagi syarikat yang ingin menembusi pasaran halal antarabangsa.”

    Ketua Pegawai Eksekutif EREKY Co. Ltd, Khun Anthony Chaikul pula berkata, “Kami berbesar hati berkongsi ilmu teknikal serta menyumbang kepada projek yang selari dengan komitmen kami terhadap kecemerlangan dalam industri halal. Kolaborasi ini akan membina asas kukuh bagi sains dan perdagangan halal di rantau ASEAN.”

    Dayang Siti Nurr Saffa Anattii, Leftenan Kolonel (B) Awang Ramli dan Khun Anthony Chaikul bergambar ramai selepas menandatangani perjanjian itu. – GAMBAR SERAHAN PERWIRA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda