Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perwira wakili Brunei dalam Piala Futsal AFF

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Kelab futsal tempatan, Perwira akan mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Piala Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022, yang akan berlangsung di Nakhon Ratchasima, Thailand dari 4 hingga 10 September.

    Perwira, yang terdiri daripada pemain-pemain Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB), layak ke pertandingan itu sebagai pemenang Piala Futsal Brunei 2022 yang diadakan baru-baru ini.

    Pasukan tersebut menewaskan Almerez dalam perlawanan timbal balik akhir untuk menempah tempat dalam pertemuan serantau.

    Kelab itu berkata dalam media sosial mereka, “Pertemuan itu memberikan peluang untuk bersaing dengan pemain yang berkualiti tinggi dan memperoleh banyak pengalaman. Walaupun ini merupakan pengalaman pertama pemain, ia bukan alasan untuk tidak memberikan saingan menentang lawan kami.”

    Ia menambah, “Insya Allah, pemain akan memberikan yang terbaik dan tidak akan berputus asa sehingga wisel penamat.”

    Pasukan Perwira bergambar beramai sebelum berlepas untuk Piala Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Thailand. – Gambar serahan daripada MS ABDB

    Wakil tunggal negara itu telah diundi dalam Kumpulan ‘A’ bersama tuan rumah Thailand Hongyen Thakam, Down Town Sport Kemboja dan Bintang Timur Surabaya dari Indonesia.

    Perwira akan memulakan kempen menentang Hongyen Thakam sebelum menentang Down Town Sport sehari kemudian.

    Pemenang piala domestik ini akan menamatkan kempen mereka di peringkat kumpulan menentang juara Liga Futsal Profesional Indonesia, Bintang Timur Surabaya pada 6 November.

    Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan mara ke pusingan kalah mati, yang dijadualkan pada 8 November dan seterusnya perlawanan akhir dijadualkan pada 10 November.

    Sementara itu, Kumpulan ‘B’ menampilkan MAC Selangor dari Malaysia, Sahako dari Vietnam dan Ramelau dari Timor Leste. Arbisyam merupakan kelab terakhir mewakili Brunei pada edisi 2018.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda