Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Pasukan PES berpesta jaringan apabila membelasah pasukan Silveredz FC 7-0 dalam aksi di Liga Futsal Perdana Brunei (BPFL) 2024/25 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Universiti Brunei Darussalam (UBD), kelmarin.
“Pemain-pemain telah menunjukkan aksi yang lebih baik dengan persefahaman yang erat sehingga membantu menyumbang kemenangan besar ini,” jelas
Pengurus pasukan PES FC, Haji Awang Mat Daud bin Haji Abdul Kadir, ketika ditemui sejurus selesai persaingan itu.
Beliau turut memuji kecekalan pemain-pemain dalam memberikan saingan kepada pasukan lawan yang juga berusaha gigih mencari kemenangan.
Pasukan PES FC yang turun dengan reputasi terbaik selepas menang besar pada perlawanan sulung mereka berjaya mengulangi rentak menarik menerusi set-piece yang rapi dan serangan balas yang pantas.
Pada awal minit perlawanan, pasukan Silveredz FC tampil lebih garang namun pasukan PES FC berjaya membaca rentak dan mencipta jaringan pada minit ke-8 menerusi Khairun Nadzereen dan rembatan Ammar Rawi yang gagal diselamatkan penjaga gol pasukan Silveredz FC menjadikan kedudukan 2-0.
Pesta jaringan pasukan PES FC bermula pada minit ke-23 menerusi sentuhan Muhazzib dan jaringan berselang minit bermula dari Khairun Nadzereen dengan rembatan kencang pada minit ke-24 dan Muhazzib sekali lagi berjaya mencuri tumpuan menerusi jaringan seminit selepas itu.
Sekali pun pasukan Silveredz FC berusaha gigih mencari jaringan keramat, namum Ammar Rawi tampil wira buat pasukan PES FC apabila berjaya menambah kelesuan lawan dengan jaringan pada minit ke-37 dan beberapa saat selepas itu mencipta hatrik untuk melengkapkan jaringan 7-0.
Kejayaan besar itu membantu pasukan PES FC mengekalkan rekod bersih dua kali perlawanan berturut-turut selepas menang mudah ke atas pasukan Syah Kampong FC 8-2 pada perlawanan pertama.