Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Pasukan PES memulakan kempen Liga Futsal Perdana Brunei (BPFL) 2024/25 dengan kemenangan bergaya, menewaskan Syahkampung 8-2 dalam perlawanan pembukaan yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Universiti Brunei Darussalam, kelmarin.
Prestasi cemerlang PES menyaksikan skuad muda itu mendominasi permainan dengan serangan berterusan walaupun menerima saingan sengit daripada Syahkampung.
PES mencatat kemenangan menerusi jaringan hatrik Awang Muhd Nur Iman Hakimi pada minit kelima, 18 dan 21. Sementara Khairun Nadzereen turut mencipta hatrik pada minit ke-22, 38 dan 39. Dua lagi jaringan masing-masing dicetak oleh Awang Muhd Huzaimie pada minit ke-28 dan Haji Abdul Aziz pada minit ke-31.
Syahkampung, yang memperta-ruhkan barisan pemain muda, berjaya membolosi gawang PES menerusi sentuhan Awang Muhd Iqemal pada minit ke-12 dan Awang Muhd Asyri pada minit ke-30.
Pengurus Pasukan PES, Haji Mohd Daud, mengakui anak buahnya menunjukkan semangat juang dan disiplin tinggi sepanjang perlawanan, menghasilkan kemenangan besar yang diharapkan dapat dikekalkan untuk mencapai sasaran musim ini.
BPFL 2024/25 telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pertandingan Futsal Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), Pengiran Kamarunsalehin bin Pengiran Kamis, yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif FABD.