Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    PES siap siaga untuk BFL2023

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Pasukan PES memberi bayangan akan tampil sebagai sebuah pasukan pencabar dalam Liga Futsal Brunei 2023 (BFL 2023) selepas persiapan bagi memantapkan permainan dan meningkatkan ketahanan fizikal menunjukkan hasil yang positif.

    Pasukan berkenaan akan bertemu dengan pasukan Kasuka & Ar Rawda pada perlawanan pembuka tirai kejohanan BFL 2023 di Dewan Sukan Tertutup, Kompleks Sukan Universiti Brunei pada Jumaat ini.

    Pemain-pemain sudah bersedia untuk membuka tirai persaingan BFL 2023 dan seterusnya melayani pasukan-pasukan berikutnya dalam BFL 2023.

    Pengurus pasukan PES, Haji Mohd Daud bin Haji Abdul Kadir ketika ditemui semasa menyaksikan pemain-pemain menjalani latihan di kompleks berkenaan hari ini menjelaskan, untuk musim ini, PES akan menampilkan enam pemain wajah baharu termasuk dua pemain B20 yang dijangka akan membantu menguatkan lagi pasukan, jelasnya.

    Katanya, “Pasukan ini telah mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan di samping menyertai kejohanan termasuk kejohanan Piala Keputeraan dan World Cup Fever Futsal bagi meningkatkan lagi kesefahaman dan membentuk satu pasukan yang mantap.”

    Menyentuh sasaran kejohanan kali ini, Haji Mohd Daud memang mahu melihat barisan PES mempertingkat kedudukan terbaik di samping mengekalkan kelayakan dalam BFL 2024 nanti.

    “Semua pasukan memang membuat persiapan rapi masing-masing namun kami akan lebih berpuas hati jika pasukan dapat kekal di kedudukan pertengahan carta liga nanti,” ujar Haji Mohd Daud.

    Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa bangga terhadap usaha positif FABD dalam penganjuran kejohanan berkenaan serta sama-sama memberi peluang kepada pemain-pemain futsal tempatan menampilkan potensi sekali gus melahirkan pemain-pemain yang boleh diketengahkan untuk mewakili skuad kebangsaan dalam kejohanan luar negara.

    Katanya lagi, “Penyerapkan pemain-pemain B20 juga satu langkah terbaik bagi memberi pengalaman pemain-pemain muda beraksi dalam liga kebangsaan kerana mereka ini juga bakal menjadi pelapis kepada pemain-pemain yang sedia ada.”

    Beliau seterusnya berharap FABD mempunyai pelan jangka panjang untuk memajukan sukan futsal terutamanya bagi membentuk satu pasukan kebangsaan yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...