KUALA LUMPUR, 30 DIS – Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) bakal melakukan rombakan barisan pesilat dan kejurulatihan sedia ada bagi menghadapi beberapa kejohanan penting pada tahun hadapan.
Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, rombakan berkenaan bertujuan memantapkan skuad sedia ada, selain memberi peluang kepada pesilat baharu terutamanya mereka yang menyinar pada kejohanan kebangsaan dan Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor untuk mewakili skuad kebangsaan.
“Kita akan menggugurkan pesilat yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan kepada mereka pada tahun ini, walaupun pelbagai peringatan sudah diberikan kepada mereka dan penilaian prestasi berkenaan melibatkan kesemua 27 orang pesilat sedia ada selain tiga jurulatih. Saya sudah meminta pengurus pasukan, Datuk Osman Nok untuk menyerahkan laporan penuh kepada saya berhubung prestasi setiap pesilat kita sepanjang tahun ini untuk dinilai oleh Jawatankuasa Pemilihan dan Penyediaan Atlet Kebangsaan Pesaka,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain memaklumkan jawatankuasa berkenaan dijangka mengadakan mesyuarat pada empat atau lima Januari depan bagi menentukan senarai baharu pesilat dan jurulatih sebelum membentangkan senarai penuh nama berkenaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) pada mesyuarat jawatankuasa kerja, pada Januari hadapan. – Bernama