Saturday, December 14, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesaka sasar 7 emas di kejuaraan dunia

    PUTRAJAYA, 13 DIS – Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) meletakkan sasaran tujuh emas sama seperti edisi lepas bagi kontinjen pesilat negara yang akan membawa cabaran ke Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2024 di Abu Dhabi yang berlangsung bermula Ahad hingga 23 Disember ini.

    Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata antara atlet yang bakal mencuri tumpuan ialah juara bertahan Nor Farah Mazlan, juara Kejohanan Pencak Silat Asia 2023 Mohamad Firdaus Latib dan pemenang pingat emas di Sukan SEA Hanoi Muhammad Khairi Adib Azhar.

    “Bertanding luar daripada gelanggang bukan alasan untuk menidakkan ukuran kemampuan pesilat kita, sasarannya sama yang kita capai seaktu di edisi 19 di Melaka. Kalau boleh lebih.

    “Melihat pencapaian pesilat baru dan lama, ratanya lebih separuh menyertai kejohanan silat dunia, saya percaya gandingan boleh mencapai satu keputusan yang baik,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bendera Pasukan Silat negara di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, di Putrajaya hari ini.

    Pada edisi lepas yang berlangsung di Melaka, Malaysia merangkul keseluruhan tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa.

    Sementara itu, Setiausaha Agung Pesaka Bibi Aishah Golbal Shah berkata Pesaka menyasarkan untuk skuad remaja sekurang-kurangnya membawa pulang tiga pingat emas.

    “Tapi kita tidak meletakkan kepada mana-mana atlet tertentu, dalam 15 orang atlet remaja yang kita hantar, jurulatih memaklumkan kita boleh bawa pulang tiga emas,” katanya.

    Beliau berkata Pesaka mengutamakan untuk memberi pendedahan kepada skuad remaja, memandangkan mereka bakal menjadi pelapis bagi sukan berkenaan.

    Malaysia menghantar keseluruhan 46 atlet ke Abu Dhabi dengan 31 daripadanya merupakan atlet senior dan 15 atlet remaja. – Bernama

    Presiden Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (tengah) bergambar bersama para atlet silat Malaysia pada Majlis Penyerahan Bendera Pasukan Silat Malaysia di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, di Putrajaya, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda