Thursday, November 14, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesakit buah pinggang makin meningkat, jagalah kesihatan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Jumlah keseluruhan pesakit buah pinggang di peringkat akhir pada tahun lalu adalah seramai 913 orang, dengan 211 kes baharu dan purata kenaikan pesakit buah pinggang peringkat akhir ialah sebanyak 28 peratus setiap tahun.

    Perangkaan itu dikongsikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Jabatan Perkhidmatan Renal, Awang Muiz bin Haji Ibrahim semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Sesi Kedua Taklimat Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Renal untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang diadakan di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini.

    Beliau seterusnya menjelaskan, data penyakit buah pinggang kronik di seluruh dunia juga menunjukkan peningkatan yang ketara setiap tahun dan ke arah meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga kesihatan buah pinggang dan mengurangkan kesan penyakit buah pinggang serta masalah yang berkaitan dengannya, kempen Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia disambut setiap tahun, pada Khamis minggu kedua Mac.

    Menurutnya, “Negara Brunei Darussalam sentiasa komited meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit buah pinggang di mana beberapa aktiviti diadakan termasuk jerayawara ke kementerian-kementerian yang diungkayahkan sendiri oleh Jabatan Perkhidmatan Renal, Kementerian Kesihatan.”

    Forum berkenaan telah dihadiri oleh 200 orang pegawai dan kakitangan dari JPM dan ahli-ahli panel terdiri daripada Konsultan dan Ketua Pakar Perkhidmatan Klinikal, Jabatan Perkhidmatan Renal, Dr Jackson Tan; pesakit renal, Awang Mohd Jafni bin Haji Mohd Hussain dan Jururawat Renal, Dayang Maswinda Sari binti Haji Zainal.

    Pameran Jerayawara Kesihatan Buah Pinggang Untuk Semua Sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2023. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Antara panel yang menyertai Jerayawara Kesihatan Buah Pinggang Untuk Semua Sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2023. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani
    Antara yang menghadiri jerayawara tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Ia merupakan kesinambu-ngan daripada Jerayawara Kesihatan Buah Pinggang untuk Semua sempena Hari Buah Pinggang Sedunia tahun 2023 yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga kesihatan buah pinggang serta masalah yang berkaitan dengannya.

    Selain itu, acara juga memastikan lebih ramai rakyat dan penduduk di negara ini memahami akan penyakit buah pinggang terutama bagi pesakit, penjaga dan ahli keluarga pesakit di samping akan lebih peka akan kesihatan iaitu dengan mengamalkan cara hidup sihat, bersenam dan mengurangkan berat badan berlebihan ke arah menikmati kehidupan yang sihat dan sejahtera.

    Pada tahun ini, tema Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia ialah ‘Kesihatan Buah Pinggang untuk Semua – Bersedia untuk Sebarang Kemungkinan, Melindungi Golongan Rentan’.

    Acara turut dimeriahkan dengan pameran kesihatan buah pinggang dan pemeriksaan kesihatan dan kempen derma darah.

    Jabatan Perkhidmatan Renal juga berhasrat untuk mengadakan beberapa sesi taklimat untuk kementerian-kementerian yang lain pada bulan ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda