Pesakit COVID-19 yang sembuh diberikan sijil

SANTIAGO, 10 APRIL – Chile akan mengeluarkan sijil kepada orang yang telah sembuh daripada koronavirus, yang membenarkan mereka bergerak dengan bebas, kata menteri kesihatan.

Sehingga semalam, Chile telah mencatat 1,274 kes yang telah sembuh daripada virus itu. “Mulai minggu depan, kami akan mengeluarkan sijil. Orang berkenaan boleh membantu komuniti,” kata Jaime Manalich.

Chile mempunyai hampir 6,000 jangkitan dan 57 kematian akibat COVID-19.

Manalich menjangka ‘peningkatan’ pada minggu-minggu akan datang.

Orang akan dianggap sembuh daripada virus itu jika mereka mengalami COVID-19 tetapi dua minggu kemudian diuji negatif.

“Apa yang menarik minat kami adalah mengatakan orang ini tidak dapat dijangkiti koronavirus lagi, kerana mereka telah pun menjadi imun, dengan itu orang tersebut boleh membantu komuniti, disebabkan mereka tidak menimbulkan satu risiko,” kata Manalich.

Soalan sama ada mereka yang telah dijangkiti virus sudah imun sebaik sahaja sembuh masih sedang dikaji, termasuk di Jerman, yang merancang mengadakan kajian besar-besaran dengan 100,000 orang. Namun walaupun kajian tersebut telah diluluskan, bacaan awal mungkin tidak boleh dipercayai sepenuhnya.

Ujian yang ada sekarang boleh menunjukkan positif palsu untuk antibodi koronavirus, memandanglan 90 peratus daripada orang dewasa telah pun mempunyai imuniti terhadap virus biasa daripada keluarga yang sama.

Chile mempunyai jumlah kematian yang rendah berbanding jumlah jangkitan, kata Manalich.

Negara itu telah menjalankan sejumlah besar ujian setiap hari, dengan hampir 8,000 pada Rabu dan 70,000 sejak mencatat kes pertama pada 3 Mac. – AFP