SEMENANJUNG GAZA, 13 NOV – Pesakit berada ‘di jalanan tanpa penjagaan’ selepas ‘pemindahan paksa’ dua buah hospital pediatrik di Gaza, kata seorang pegawai di wilayah yang dikuasai Hamas kelmarin, menentang tentera Israel yang berkata ia menjamin laluan selamat untuk orang awam.
“Pemindahan paksa hospital Al-Nasr dan Rantisi telah menyebabkan orang sakit di jalanan tidak mendapat rawatan,” kata Mohammed Zaqut, ketua pengarah hospital di wilayah Palestin, kepada pemberita.
“Kami telah terputus hubungan dengan penjaga” di kedua-dua hospital ini, katanya. Awal kelmarin, tentera Israel berkata ia telah “membolehkan pemindahan” kedua-dua hospital itu dan membuka laluan tambahan untuk memudahkan laluan selamat penduduk awam ke selatan Semenanjung Gaza.
Zaqut juga menyifatkan situasi “bencana” di dalam hospital terbesar Gaza, Al-Shifa, berkata “tiada siapa yang boleh memasuki atau meninggalkannya” di tengah-tengah pertempuran sengit.
Doktor dan kumpulan bantuan pada Sabtu berkata dua daripada 39 orang anak damit telah meninggal dunia di unit neonatal, Al-Shifa selepas kuasa kepada inkubator mereka terputus.

“Kita mesti menyelamatkan anak damit pramatang,” kata Zaqut.
Israel berjanji pada Sabtu untuk membantu memindahkan anak damit dari rumah sakit itu, yang telah terperangkap dalam serangan darat Israel secara berulang-ulang.
Tetapi Melanie Ward, ketua eksekutif kumpulan Bantuan Perubatan untuk Palestin, mempersoalkan bagaimana pemindahan seperti itu dapat dilakukan dengan selamat.
“Pemindahan anak damit berusia kurang dari empat minggu yang kritikal merupakan proses yang kompleks dan teknikal,” kata Ward.
“Dengan ambulans tidak dapat sampai ke hospital terutamanya mereka yang mempunyai kemahiran dan peralatan yang diperlukan untuk memindahkan anak damit itu – dan tidak ada hospital yang mempunyai kapasiti untuk menerimanya, tidak ada petunjuk bagaimana ini dapat dilakukan dengan selamat.” – AFP