KUCHING, 19 Julai – Seorang lelaki disahkan dijangkiti rabies, atau penyakit anjing gila di daerah Serian, menjadikan beliau sebagai orang kelima yang dijangkiti penyakit itu sejak dikesan di daerah berkenaan bulan lepas. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata lelaki berumur 52 tahun dari Kampung Remun, Serian itu disahkan dijangkiti rabies menerusi ujian makmal pada 18 Julai.
Menurutnya lelaki itu mempunyai sejarah digigit anjing pada awal Mei lepas, dan pada 11 Julai lalu beliau yang mengalami lemah anggota kaki, kebas, sakit belakang serta kebingungan, dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.
“Oleh itu, sehingga 18 Julai ini, terdapat lima kes rabies di Serian, Sarawak, yang mana empat kes telah meninggal dunia, dan satu sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak,” katanya dalam kenyataan pada laman web hari ini.
Dua hari lepas, seorang kanak-kanak Florancesia Edward, 5, menjadi pesakit keempat meninggal dunia di hospital itu akibat rabies.
Sementara itu mesyuarat penyelarasan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini memutuskan untuk mewujudkan satu ‘zon penampan’, antara Siburan dan Kuching bagi mengekang penularan wabak rabies di kalangan anjing daripada memasuki bahagian Kuching.
“Sehubungan itu masyarakat di sekitar kawasan Batu 10 Padawan diminta membawa hanya anjing ke tempat pemvaksinan yang disediakan secara percuma oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak di Dewan Masyarakat Batu 10, Kota Padawan, esok, antara pukul 10 pagi dan 4 petang,” menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan di sini petang ini.
Pada masa sama, unit peronda MPV polis diarah untuk membuat rondaan dan memantau kawasan wabak dalam lingkungan 10km radius bagi memaklumkan kepada Majlis Daerah Serian dan Majlis Perbandaran Padawan sekiranya anjing liar dikesan berkeliaran.
Kenyataan itu dikeluarkan di akhir mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Tingkat 20 Wisma Bapa Malaysia, yang turut dihadiri Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Prof Dr Sim Kui Hian, serta agensi lain yang berkaitan.
Sementara itu, 164 kes gigitan baharu dikesan yang berlaku antara 2 Julai sehingga hari ini di kawasan wabak, menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan anjing yang berlaku di kawasan berkenaan sejak 1 April sehingga hari ini berjumlah 447 orang.
“Sebanyak 317 orang telah datang untuk menerima suntikan vaksin. Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak sedang dalam usaha untuk menghubungi mereka yang masih belum mendapatkan suntikan vaksin. – Bernama