Monday, March 31, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesakit maut dijangkiti rabies selepas pemindahan organ

    MICHIGAN, 28 MAC – Seorang penduduk Michigan meninggal dunia awal tahun ini selepas dijangkiti rabies daripada pemindahan organ, kata pegawai kesihatan.

    Pesakit tersebut menerima pemindahan organ di sebuah hospital di Ohio pada Disember dan meninggal dunia pada Januari, menurut jurucakap Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Michigan (MDHHS), Lynn Sutfin.

    Siasatan bersama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) serta Jabatan Kesihatan Ohio mendapati pesakit tersebut dijangkiti rabies daripada organ yang didermakan. Namun, Sutfin tidak mendedahkan organ mana yang terlibat.

    Rabies ialah penyakit virus yang membawa maut, disebarkan melalui air liur atau darah haiwan yang dijangkiti. Gejalanya bermula dengan simptom seperti selesema halusinasi dan kesukaran menelan. Pada masa gejala muncul, rabies selalunya membawa maut.

    Menurut CDC, kurang daripada 10 kematian akibat rabies berlaku setiap tahun di AS dan pemindahan organ sebagai punca jangkitan sangat jarang berlaku.

    Namun, kes serupa pernah terjadi pada 2013, apabila seorang pesakit meninggal dunia selepas menerima pemindahan buah pinggang daripada penderma yang dijangkiti rabies.

    Di AS, proses saringan penderma organ termasuk soalan mengenai perubahan mental penderma serta ujian virus dan jangkitan.

    Sutfin menegaskan bahawa tidak adanya ancaman terhadap orang awam.

    “Pegawai kesihatan telah bekerjasama untuk memastikan bahawa mereka yang mempunyai kontak dengan pesakit, termasuk petugas kesihatan, telah dinilai untuk kemungkinan terdedah kepada rabies,” katanya. Rawatan pencegahan selepas pendedahan turut diberikan jika perlu. – AP

    Gambar mikroskop elektron yang disediakan oleh CDC menunjukkan rabies bewarna gelap dan berbentuk peluru dalam sampel tisu yang dijangkiti. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda