BUCHAREST, 31 DIS – Seorang pesakit wanita maut selepas disambar api ketika pembedahan di hospital di Romania, kata Kementerian Kesihatan negara itu semalam.
Kes itu menonjolkan sistem kesihatan meruncing di Romania.
Pesakit barah pankreas itu meninggal dunia kelmarin selepas menderita terbakar sehingga 40 peratus tubuhnya apabila pakar bedah menggunakan pisau bedah elektrik walaupun mangsa sudah dirawat dengan cecair mencegah bakteria berasaskan alkohol.
Bersentuhan dengan cecair pencegah bakteria yang mudah terbakar menyebabkan kebakaran dan pesakit ‘menyala seperti obor, kata ahli perundangan Emanuel Ungureanu di laman Facebook beliau, memetik kenyataan kakitangan perubatan di hospital Floreasca.
Seorang jururawat menyiram sebaldi air ke atas pesakit berusia 66 tahun itu bagi mengelakkan api marak dalam kejadian pada 22 Disember lalu.
Kementerian Kesihatan berjanji akan menyiasat kejadian malang itu.
“Pakar bedah perlu sedar penggunaan cecair pembasmi bakteria berasaskan alkohol dilarang ketika prosuder pembedahan dilakukan menggunakan pisau elektrik,” kata timbalan menteri, Horatiu Moldovan.
Keluarga mangsa berkata, kakitangan perubatan memberitahu mereka mengenai kemalangan itu tetapi enggan memberi maklumat lanjut.
Di sebalik pemulihan yang semakin baik disebabkan pertambahan dana, sistem hospital di Romania masih berhadapan peralatan tidak berkualiti dan kekurangan doktor. – AFP