POLEWALI, INDONESIA – Dikurung saban hari dalam pondok kecil dan kotor dengan ruang amat sempit untuk berbaring, Rauf menjadi tawanan kepada isu kesihatan mental dan satu-satunya cara penjaga mampu menjaganya adalah dengan mengurungnya dalam bilik.
Sementara keadaan tersebut bukan sesuatu yang unik di Indonesia, mangga, belenggu dan rantai sering digunakan untuk mengganti kekurangan peruntukan kesihatan mental di negara yang mempunyai jumlah penduduk keempat terbesar di dunia itu.
Namun pandemik koronavirus telah memburukkan masalah yang dihadapi, memaksa ramai orang dirantai semula selepas mereka dibebaskan berikutan perubahan dalam sikap, dan akses kepada ubat-ubatan dan penjagaan yang lebih baik.
Rauf, 40, menghabiskan berdekad-dekad dipasang belenggu sehingga beberapa tahun lalu, apabila dia akhirnya dibenarkan berjalan-jalan dengan sendiri – biasanya ke tempat kegemarannya, sebuah pasar yang sibuk.
Bagaimanapun, virus telah memaksa kaedah lama digunakan, dan dia sekali lagi dibelenggu dan dikunci di kawasan belakang rumah yang sempit di mana dia makan, tidur dan membuang air besar.
“Kami tidak mahu dia dijangkiti virus tatkala kami mendapat tahu keadaan menjadi semakin buruk sekarang,” kata Hasni, ibu saudara Rauf yang menjaganya di Polewali di Sulawesi Barat.
Dia juga bimbang sekatan virus mungkin membatas akses Rauf untuk mendapatkan ubat, dan bimbang dia mungkin mencederakan dirinya sendiri atau orang lain.
Mengurung orang dengan masalah kesihatan mental merupakan perkara biasa di Indonesia, terutamanya dalam kalangan keluarga yang tidak dapat mengendalinya atau mampu mendapatkan jagaan profesional.
Pelancong asing di Bali sering berasa terkejut apabila terjumpa seseorang yang dirantai pada pokok di kampung yang mempunyai pemandangan indah.
Satu kempen kebangsaan membantu ribuan mendapatkan akses lebih baik kepada rawatan kesihatan mental dan ubat-ubatan, dan pakar percaya mereka telah mencatat kejayaan – sehingga virus melanda.
“Ia merupakan tragedi dengan pandemik yang berlaku di banyak negara termasuk di Indonesia,” kata Kriti Sharma, penyelidik hak golongan kurang upaya untuk Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW).
Dalam satu laporan yang dikeluarkan pada Selasa bertajuk ‘Hidup Dirantai: Membelenggu Orang dengan Kecacatan Psikososial di Seluruh Dunia,’ HRW mendokumenkan ratusan ribu orang dengan isu kesihatan mental – ada di antaranya berusia 10 tahun – dikurung bertahun-tahun lamanya.
Kecacatan psikososial – apabila penyakit mental mengganggu keupayaan seseorang untuk berfungsi – boleh timbul daripada mana-mana isu kesihatan mental sekiranya kesan ke atas kehidupan mereka adalah amat teruk.
Laporan itu dikeluarkan sebelum Hari Kesihatan Mental Sedunia pada Sabtu.
Kes-kes belenggu dikumpul sama ada oleh pekerja lapangan, dilaporkan oleh penduduk tempatan atau dikongsi oleh saudara-mara mangsa yang tidak dapat menjaganya.
“Ia adalah satu amalan yang berleluasa, kejam dan berlaku secara terbuka dalam kebanyakan komuniti,” kata Sharma.
Kementerian kesihatan Indonesia – yang mencatat hampir 300,000 orang sebagai mengalami masalah kesihatan mental – berkata ia telah mencatat lebih daripada 6,000 kes ‘membelenggu’ dalam separuh tahun pertama, pertambahan lebih daripada 1,000 sepanjang tahun 2019.
“Jumlah itu mungkin meningkat dua kali ganda jika pandemik berlarutan,” kata Siti Khalimah, pengarah hal ehwal kesihatan mental di kementerian.
Menggambarkan angka terbaharu sebagai ‘sebahagian kecil daripada yang sebenarnya,’ dia berkata lebih banyak kes mungkin tidak dilaporkan disebabkan rasa malu atau stigma sosial.
Perkhidmatan kesihatan mental telah terjejas teruk oleh sekatan koronavirus, tambah beliau, dengan pesakit tidak dapat mengunjungi klinik, atau pekerja kesihatan mengadakan lawatan ke komuniti.
Sodikin, 34, dibebaskan pada 2016 selepas menghabiskan lebih lapan tahun dirantai di Cianjur, Jawa Barat.
Satu kombinasi ubat dan khidmat nasihat bermakna perkembangannya adalah mengagumkan, dan pada 2018 dia mula bekerja di sebuah kilang pakaian – menjadi pencari nafkah untuk keluarga.
Namun kini dia dikurung sekali lagi selepas sekatan koronavirus memutuskan akses kepada ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan mental dalam komuniti.
“Dia tidak menimbulkan masalah selama sembilan tahun, tetapi sejak pandemik, dia menjadi tidak terkawal,” beritahu abang Sodikin, Mustafa kepada AFP.
“Kami tidak mempunyai pilihan melainkan mengurungnya. Jika dia mengambil ubat, dia rasa sihat, tetapi jika ubatnya habis, dia menjadi tidak terkawal.
“Kami tidak mempunyai wang untuk membeli ubat.”
Di Sulawesi Barat, seorang lagi pesakit – bapa kepada empat orang anak, Ahmad, 38 tahun – sedang tidur dalam sebuah bangsal dengan kaki dan tangannya dirantai apabila seorang wartawan AFP mengunjunginya.
“Kami tidak mempunyai wang untuk mendapatkan rawatan,” kata abangnya, Nurdian.
“Walaupun sebelum pandemik, kami sedang bergelut – kini situasi adalah lebih sukar.
“Cara ini kami boleh meneruskan kerja-kerja kami di ladang tanpa berasa bimbang mengenai dirinya,” tambah beliau.
“Kami berasa sedih melihatnya dirantai seperti ini, tetapi ia merupakan satu-satunya pilihan yang ada.” – AFP