LONDON, 11 DIS – Doktor di Britain memuji rawatan perintis untuk leukemia agresif, selepas seorang remaja menjadi pesakit pertama yang diberi terapi baharu dan mengalami penurunan gejala.
Gadis berusia 13 tahun yang hanya dikenali sebagai Alyssa, didiagnosis dengan leukemia limfoblastik akut sel T pada 2021. Bagaimanapun, kanser darahnya tidak bertindak balas terhadap rawatan konvensional, termasuk kemoterapi dan pemindahan sumsum tulang.
Pesakit berkenaan mendaftar pada percubaan klinikal rawatan baharu di Hospital Great Ormond Street untuk Kanak-kanak (GOSH) London menggunakan sel imun yang direka bentuk secara genetik daripada sukarelawan yang sihat.
Dalam masa 28 hari, kansernya menunjukkan pengurangan gejala membolehkannya menerima pemindahan sumsum tulang kedua untuk memulihkan sistem imunnya.
Enam bulan kemudian, keadaannya ‘semakin baik’ dan dia pulang ke tanah air di Leicester, tengah England dan menerima rawatan susulan.
“Tanpa rawatan eksperimen ini, satu-satunya pilihan Alyssa adalah penjagaan paliatif,” kata hospital itu dalam satu kenyataan hari ini. Robert Chiesa, seorang perunding GOSH, berkata pemulihannya ‘agak luar biasa’, walaupun keputusan masih perlu dipantau dan disahkan dalam beberapa bulan akan datang. – AFP


