Tuesday, December 24, 2024
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesakit psikiatri manfaat pentas teater luah masalah dihadapi

    BAMAKO – Di halaman wad psikiatri di ibu negara Mali, sekumpulan kecil pesakit melakonkan adegan pertengkaran kampung mengikut rentak djembe, gendang tradisional Afrika Barat.

    Seorang pesakit, Mamadou Diarra, menjerit kepada yang lain dalam bahasa Bambara, mengejek: “Kamu tidak tahu apa-apa! Hanya cakap kosong!”

    Tetapi kedua-duanya tersenyum dan Diarra menari sambil dia terus melontarkan kata-kata kesat kepada rakan pelakonnya.

    Kumpulan itu sedang mengambil bahagian dalam koteba, satu bentuk teater tradisional yang diamalkan oleh kumpulan etnik terbesar Mali, Bambara. Ia menggabungkan lakonan, nyanyian dan tarian dan biasanya dipersembahkan di kampung sebagai saluran untuk menyelesaikan masalah dan ruang terbuka untuk sindiran.

    Tetapi di Point G, salah satu hospital terbesar di Bamako, koteba juga merupakan cara untuk menawarkan sokongan dan membina rasa kemasyarakatan kepada orang yang menerima rawatan psikiatri.

    Pesakit di wad psikiatri Point G Bamako bermain alatan muzik di halaman hospital di Bamako, Mali. – AP
    Pesakit di wad psikiatri Point G Bamako melakonkan adegan di wad psikiatri hospital Point G di Bamako, Mali. – AP
    Pesakit di wad psikiatri Point G Bamako melakonkan adegan di wad psikiatri hospital Point G di Bamako. – AP
    Mamadou Diarra (kanan) menari dengan pesakit lain di wad psikiatri hospital Point G Bamako. – AP

    Mali hanya mempunyai kurang daripada 50 profesional kesihatan mental untuk populasi lebih daripada 20 juta, menurut laporan 2022 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Orang yang mempunyai penyakit mental sering dibiarkan tanpa rawatan dan disisihkan daripada masyarakat.

    Walaupun penggunaan koteba sebagai terapi belum dikaji secara rasmi, Souleymane Coulibaly, ahli psikologi klinikal di hospital Point G, berkata bentuk teater tradisional itu memiliki keunikan tersendiri untuk membantu pesakit di wad psikiatri mengatasi masalah mereka.

    “Pesakit yang menghadiri sesi koteba meninggalkan hospital lebih cepat berbanding mereka yang enggan menghadiri sesi teater,” katanya.

    Di halaman hospital, Diarra adalah bintang, dan pesakit lain berkumpul semasa dia bercakap.

    “Saya tidak pernah melakonkan apa-apa jenis teater sebelum ini. Saya juga tidak pernah menari. Tetapi sebaik sahaja saya mula, Tuhan memberikan saya pengetahuan tentang perkara ini,” katanya.

    Adama Bagayoko, 67, pengarah kumpulan teater pelawat, berkata persembahan mingguan di Point G adalah ruang yang jarang ditemui di mana pesakit berasa didengari dan dihormati.

    “Kami berbual antara satu sama lain, menari bersama dan ketawa bersama,” kata Bagayoko. “Dengan menyentuh seseorang menunjukkan bahawa kami setaraf, mendengar mereka pula menunjukkan bahawa mereka penting dan apa yang mereka katakan juga penting.”

    Bagayoko merupakan sebahagian daripada kumpulan yang membawa koteba ke wad psikiatri Point G pada tahun 1983, kerana pekerja kesihatan mental mencari cara untuk menggunakan amalan budaya Mali untuk membantu orang yang menerima rawatan psikiatri.

    Persembahan pertama sangat berkesan sehingga pesakit bertanya kepada doktor sama ada pelakon itu boleh kembali keesokan harinya, katanya.

    Pesakit dan pelakon bertemu untuk persembahan koteba setiap hari Jumaat sejak itu.

    Persembahan koteba di Point G berlangsung dalam tiga fasa, kata Bagayoko. Pertama, kumpulan pelakon akan memainkan muzik untuk menjemput pesakit ke halaman rumah.

    Kemudian mereka akan bertanya apakah topik atau tema persembahan pada hari itu.

    Selepas persembahan, mereka duduk dalam bulatan dan memberikan peluang kepada mana-mana pesakit yang ingin bercakap.

    Oleh kerana pesakit berasa selesa, mereka sering menceritakan butiran tentang kehidupan mereka kepada para pelakon bahawa perkara yang mereka tidak selesa berkongsi dengan keluarga atau doktor, yang dapat membantu doktor-doktor memahami isu sebenar yang mungkin mereka hadapi, kata Bagayoko.

    Pada Jumaat baru-baru ini, para pesakit melakonkan adegan biasa di Mali: Seorang lelaki di sebuah kampung dituduh mencuri. Pencuri itu menjerit dan mendakwa dia tidak mencuri apa-apa, sementara penduduk kampung bertanya Diarra, sebagai ketua kampung, hukuman apa yang patut dia terima.

    “Bunuh dia!” Diarra menjerit di tengah-tengah teriakan itu. Tetapi apabila kumpulan yang marah itu untuk mengelilingi pencuri itu, dia berjaya melarikan diri.

    Bagayoko berkata kumpulan teater itu turut mempersembahkan tema lain yang dicadangkan oleh pesakit termasuk mengenai wanita yang dipukul oleh suami mereka, masalah dadah dan ketagihan alkohol.

    Hospital di Point G hanya terletak tidak jauh dari pentas politik Mali, istana presiden dan pangkalan tentera utama di mana rampasan kuasa tentera pada tahun 2020 telah menyebabkan negara itu bergelut dengan peningkatan keganasan pelampau dan kesukaran ekonomi. Bulan lalu, pejuang Islam menyerang Bamako buat kali pertama dalam hampir sedekad.

    Tetapi masalah itu seolah-olah jauh ketika persembahan koteba di hospital, kerana Diarra dan rakan pesakitnya tenggelam dalam dunia yang mereka cipta.

    “Awak tahu apa masalah saya? Saya melihat sesuatu seperti apa adanya,” kata Diarra sambil ketawa ketika berehat.

    Bagayoko menyampuk “Baiklah, kami akan meringankan beban itu untuk awda.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda