Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesakit sembuh beri harapan perangi virus HIV

    MUNICH, 25 JULAI – Tiga orang yang telah sembuh sepenuhnya daripada HIV telah bercakap tentang bagaimana prosedur pemindahan berisiko menyelamatkan nyawa mereka, dengan seorang berkata mereka adalah ‘bukti hidup’ harapan dalam memerangi virus itu.

    Ketiga-tiga mereka bercakap tentang pengalaman mereka semasa Persidangan AIDS Antarabangsa di Munich, yang telah mengumpulkan pakar, penyelidik dan aktivis untuk membincangkan perkembangan dalam wabak HIV.

    Hanya tujuh orang dianggap telah sembuh dengan berkesan selepas menerima pemindahan sel tunjang, prosedur yang menyakitkan dan berisiko hanya sesuai untuk pesakit yang mempunyai kedua-dua HIV dan leukemia yang agresif.

    Adam Castillejo, 44 tahun yang juga dikenali sebagai ‘pesakit London’, memberitahu AFP bahawa ia mengambil masa ‘bertahun-tahun’ untuk memastikan pemindahannya mempunyai kesan yang diingini.

    “Tidak ada masa tertentu apabila awda berkata “Awda sudah sembuh”, ia mengambil sedikit masa dan kemudian awda telah mengawal jangkaan ke arah itu.”

    Gambar Freepik

    Hanya apabila doktor yakin bahawa HIV pesakit tidak akan kembali, mereka menghentikan rawatan dengan ubat antiretroviral, yang mengurangkan jumlah virus dalam darah.

    Marc Franke, 55, ‘pesakit Duesseldorf’, turut mengalami proses tersebut.

    “Doktor melakukan banyak ujian untuk benar-benar 100 peratus pasti sebelum terapi antiretroviral dihentikan,” kata Franke.

    Pemindahan sumsum tulang, yang membawa risiko 10 peratus kematian, pada asasnya menggantikan sistem imun seseorang.

    Menunjuk kepada kadar kematian yang banyak dan komplikasi lain, Franke berkata, “Saya tidak boleh mengesyorkannya kepada sesiapa.”

    Walaupun telah ‘kehilangan beberapa tahun’ akibat leukemia, Franke berkata dia lebih suka mengambil satu pil antiretroviral sehari daripada melalui proses pemindahan yang melelahkan.

    Terdapat 1.3 juta jangkitan HIV baharu tahun lepas, manakala 39 juta orang hidup dengan virus itu, menurut WHO. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda