CHONGQING, CHINA, 22 DIS – Pesakit warga emas berbaris di wad-wad hospital di bandar utama di China hari ini ketika negara itu menangani gelombang kes COVID.
Dengan dipasang tiub pernafasan di bawah timbunan selimut, seorang lelaki tua yang dijangkiti COVID terbaring mengerang di atas pengusung di jabatan kecemasan sebuah hospital di tengah China.
Seorang paramedik di Hospital Gabungan Pertama Universiti Perubatan Chongqing, yang mengesahkan lelaki tua itu adalah pesakit COVID, berkata dia telah menerima lebih 10 orang sehari, 80 hingga 90 peratus daripadanya telah dijangkiti koronavirus.
“Kebanyakan mereka warga emas. Ramai kakitangan hospital juga positif, tetapi kami tiada pilihan selain terus bekerja,” katanya.
Lelaki tua itu menunggu setengah jam untuk dirawat, manakala di bilik berdekatan, AFP melihat enam pesakit lain di atas katil dikelilingi oleh doktor dan saudara-mara.
Mereka juga kebanyakannya warga emas dan apabila ditanya sama ada mereka semua pesakit COVID, seorang doktor berkata: “Pada dasarnya.”
Lima menerima alat pernafasan dan mengalami kesukaran bernafas yang jelas.
Berjuta-juta warga emas di seluruh China masih belum diberi vaksin sepenuhnya, menimbulkan kebimbangan virus itu mungkin membunuh rakyat yang paling terdedah dalam jumlah yang besar. – AFP


