KUALA TERENGGANU, 27 DIS – Hukuman sebat di khalayak ramai terhadap buruh yang melakukan kesalahan khalwat berulang, dilaksanakan di Dewan ‘Aasim, Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini, selepas solat Jumaat hari ini.
Pelaksanaan hukuman berkenaan menjadikan tertuduh berumur 42 tahun yang mengaku bersalah berkhalwat buat kali ketiga itu, sebagai individu pertama di Terengganu disebat di khalayak ramai.
Terdahulu, duda kepada lima anak yang memakai pakaian lokap berwarna merah dan memakai pelitup muka tiba di dewan masjid pada 2:28 petang dengan diiringi pegawai Penjara Marang, terus dibawa ke bilik khas untuk menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan.
Sebelum hukuman dilaksanakan, hadirin di dewan yang tidak dibenarkan membawa sebarang peranti komunikasi termasuk telefon pintar dan dikawal rapi polis, diberi penerangan latar belakang kes oleh pegawai mahkamah syariah negeri.
Hukuman enam sebatan dilaksanakan pada 2:50 petang dengan menggunakan rotan di belakang badan lelaki itu selesai dua minit kemudian, dan dia dibawa semula ke bilik khas sebelum meninggalkan masjid menggunakan van penjara pada 3:01 petang.
Walaupun orang ramai memenuhi perkarangan masjid namun polis berjaya mengawal situasi sepanjang pelaksanaan hukuman berlangsung.
Pada 20 November lepas, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu Kamalruazmi Ismail menjatuhkan hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda, selepas lelaki itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.
Hukuman itu dijatuhkan kerana ia kesalahan ketiga tertuduh, memandangkan pada 19 Februari lepas, dia dijatuhkan empat sebatan secara tertutup dalam penjara dan didenda RM3,000 kerana kesalahan khalwat kali kedua, selain pernah didenda RM2,700 untuk kesalahan sama pada 11 Julai 2023.
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 yang berkuat kuasa 1 Januari lalu, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara. – Bernama