Tuesday, April 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesalah rasuah perlu dihukum dengan pelucutan aset – Prabowo

    JAKARTA, 13 APRIL – Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) menyatakan sokongan terhadap Presiden Prabowo Subianto berhubung rancangan untuk melucut hak semua aset hasil rasuah daripada pesalah rasuah, menerusi undang-undang pelucutan aset, yang mana perbincangannya telah lama tertangguh selama lebih sedekad.

    Jurucakap KPK, Tessa Mahardika berkata, usaha untuk memiskinkan pesalah rasuah bukan sahaja menjadi hasrat badan antirasuah itu, malah turut menjadi harapan rakyat Indonesia secara umum.

    “Bentuk pemiskinan seperti ini sememangnya perlu diatur dalam perundangan,” kata Tessa ketika ditemui di sidang media pada 9 April.

    Namun begitu, beliau menegaskan bahawa bentuk dan perincian peraturan tersebut masih memerlukan perbincangan lanjut antara institusi penguatkuasaan undang-undang, pihak kehakiman serta cabang eksekutif dan legislatif.

    Kenyataan KPK ini dibuat sebagai respons kepada ucapan Presiden Prabowo dalam satu wawancara bersama enam ketua pengarang di kediaman peribadinya di Bogor, Jawa Barat, pada 6 April lalu.

    Dalam wawancara tersebut, Prabowo ditanya mengenai pandangannya terhadap bagaimana rang undang-undang pelucutan aset sekiranya diluluskan oleh Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) boleh meningkatkan keberkesanan usaha membanteras rasuah di Indonesia.

    Aktivis antirasuah melihat rang undang-undang ini sebagai instrumen penting yang mampu memperkukuhkan perjuangan negara dalam membanteras rasuah dengan menyediakan mekanisme lebih efektif, bagi merampas aset hasil amalan haram dan memulangkannya kepada perbendaharaan negara. – ANN/The Star

    Presiden Prabowo Subianto, ketika berucap di Kuala Lumpur pada 27 Januari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda