Tuesday, December 31, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesambah buat raja yang dikasihi

    TANGGAL 4 Oktober lalu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri telah berkenan melancarkan buku ‘Raja Melakar Sejarah’ dan ‘The King Who Shapes History’ hasil karya Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta. Dalam satu wawancara baru-baru ini, Yang Berhormat Pehin memberitahu, niat untuk menulis buku tersebut, sebenarnya sudah lama terpendam di lubuk hatinya, namun ia belum tercapai sehingga beliau rasa terpanggil untuk tidak lagi bertangguh berikutan dengan semakin hampirnya detik Jubli Emas pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini.

    Bagi Yang Berhormat Pehin, menulis buku setebal 436 muka surat ini adalah sesuatu yang sangat mencabar kerana baginya bukan mudah untuk menulis sesuatu sejarah, lebih-lebih lagi tentang seorang raja, kepala negara, ketua kerajaan dan tokoh istimewa lagi tersendiri dari semua sudut. Beliau mengambil masa lebih setahun untuk menyiapkan buku istimewa ini. Ikuti sedutan wawancara bersama Yang Berhormat Pehin:

    S: Bagaimana Pehin mula-mula teringat untuk menghasilkan buku ini?

    J: Teringat itu memang sudah lama, tetapi seperti saja tidak ada jalan kerana maklum saja siapa yang akan ditulis ini adalah seorang ‘Tokoh Istimewa’ / Tokoh Besar’ yang mengatasi segala ketokohan di kalangan kita. Siapakah boleh kata ini satu kerja ‘mudah’? Ya, bukan mudah! Bukan mudah untuk mendekati atau mengenali dan kemudian menulis mengenai baginda, bukan mudah! Sebab itu hampir saja saya membatalkan niat ini.

    Tetapi Allah Maha Kaya, tiba-tiba bisikan halus muncul di dalam hati : mengapa mesti mengalah sebelum mencuba? Bukankah mengalah itu satu sifat lemah? Sedang Allah suka kepada orang beriman yang kuat?

    Maka kerana bisikan hati inilah saya kembali bersemangat untuk mencuba. Lebih-lebih lagi di dalam kepala juga segera teringat bahawa detik Jubli Emas Raja memerintah sudahpun dekat, maka alangkah sesuainya jika buku mengenai baginda lahir bertepatan pada tarikh tersebut? Alhamdulillah, Tuhan telah mengizinkan buku ini lahir bertepatan pada detik Jubli Emas, kerana itu, dalam buku ini dimaktubkan ungkapan : “Pesambah Sempena Jubli Emas Raja Menaiki Takhta.”

    S: Apakah kandungan terpenting dalam buku ini, boleh Pehin terangkan?

    J: Tentu saja mengenai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan, siapa dan bagaimana Baginda itu selaku raja dan sekaligus kepala negara dan ketua kerajaan, meliputi dari sudut-sudut personaliti, karakter sampailah kepada gaya kepimpinan Baginda mengemudi dan mentadbir negara serta kerajaan.

    Ini dapat dikesan dari banyak aspek: penampilan, pergaulan, titah-titah, tatacara, budi bicara, sikap, semangat dan pegangan hidup. Mungkin sorotan ini tidak lengkap kerana memang mustahil ia lengkap berdasarkan tokoh yang diperkatakan ini adalah ‘Tokoh Besar’.

    S: Adakah buku ini riwayat hidup?

    J: Memang ada unsur itu, dengan lebih menekankan kepada aspek-aspek pencapaian, keunikan dan kegemilangan kepimpinan raja dalam bidang-bidang pentadbiran awam, ugama, adat resam, undang-undang, pendidikan, politik, ekonomi dan akhir sekali sedikit mengenai negara zikir.

    Buku ini dicetak dalam dua edisi: Melayu dan Inggeris. Tiap-tiap satu edisi kita ada menyediakan kulit tebal dan kulit nipis masing-masing itu berbeza harganya. Bagi penuntut ada diberikan potongan harga 30 peratus sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun Baginda menaiki takhta sehingga 31 Oktober ini sahaja.

    S: Apa signifikannya buku ini dicetak dalam dua bahasa?

    J: Kita melihat dari segi kesesuaian dan malah juga keperluan mengapa buku ini dicetak dalam dua bahasa, pertama-tama kerana mengambil kira bahawa sifat Kebawah Duli Yang Maha Mulia bukan sahaja raja bagi Brunei malahan juga adalah antara tokoh dan pemimpin dunia yang sangat-sangat dikagumi dan dihormati. Jadi dengan adanya edisi berbahasa Inggeris ini akan memudahkan orang lain turut membacanya, khasnya mereka yang berminat di luar Negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda