Saturday, November 30, 2024
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesambah istimewa Kem. Pertahanan

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    TUTONG, 15 SEPT – Dalam menzahirkan rasa kecintaan dan kasih sayang kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Pertahanan telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-77, kelmarin.

    Majlis yang diadakan di Surau Al-Hikmah, Penanjong Garison itu merupakan pesambah istimewa kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi menzahirkan rasa penuh kesyukuran dan bermunajat ke hadrat Allah SWT semoga Baginda akan terus dikurniakan nikmat lanjut usia dan kesihatan serta kekal qarar memerintah Negara Brunei
    Darussalam.

    Program tahunan berkenaan juga adalah sebagai cetusan wacana taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja yang berdaulat dan bijaksana yang sangat prihatin, pemedulian dan berjiwa rakyat.

    Hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof yang telah memulakan majlis dengan memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.

    Turut hadir ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, pemangku setiausaha tetap, pemerintah-pemerintah angkatan tentera dan angkatan bersama ABDB, timbalan-timbalan setiausaha tetap serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan.

    Jemputan khas bagi sama-sama memeriahkan majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan; Ketua Kampung Sengkarai merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Negara Zon 2 Daerah Tutong, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan; Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Adi Asnawi bin Haji Awang Adanan, serta beberapa wakil dari jabatan-jabatan di bawah JPM, ketua-ketua kampung dan imam-imam masjid di sekitar Daerah Tutong.

    Majlis disusuli dengan bacaan doa sebelum membaca Al-Quran, bacaan surah-surah lazim, Takhtim dan Tahlil beramai-ramai, diikuti dengan bacaan Doa Khatam Al-Quran dan seterusnya Dikir Marhaban.

    Sebelum mengakhiri majlis, Yang Berhormat Pehin menyampaikan cenderahati kepada peserta-peserta khatam sebelum bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Kapten Mu’iz bin Zulkifli dari Jabatanarah Agama ABDB bagi memberkati majlis.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama para peserta pada majlis khatam di Surau Al-Hikmah, Penanjong Garison. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyampaikan cenderahati kepada peserta khatam. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan
    Antara yang hadir pada majlis keagamaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda