BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Para pesara guru Sekolah Rendah Dato Marsal (SRDM) yang pernah berkhidmat pada tahun 1991 hingga 1998 di sekolah berkenaan telah mengadakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Sambutan Hari Guru ke-35 bagi 1447 Hijrah bersamaan 2025 Masihi baru-baru ini di salah sebuah restoran di Tanjung Bunut.
Hadir selaku tetamu khas pada majlis berkenaan ialah mantan Penolong Pengarah, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Zulkipli bin Haji Ladis.
Terdahulu, Haji Othman bin Abdul Rahman yang juga selaku pengerusi majlis dalam ucapannya telah menyatakan sambutan berkenaan memupuk semangat ukhuwah, perpaduan dan patriotisme dalam kalangan warga emas.
Tambahnya, amalan dan penerapan nilai-nilai murni dalam sambutan berkenaan adalah sunnah-sunnah Rasulullah SAW dan akan terus subur dalam jiwa serta menjadi contoh teladan kepada generasi muda.
Beliau juga menyentuh mengenai beberapa aktiviti yang telah pun diungkayahkan seperti reunion kali pertama bagi warga SRDM yang berkhidmat pada tahun 1991 hingga 1998; Majlis Membaca Tahlil dan Doa Arwah; mencetak dan mewakafkan buku Yasin di SRDM, masjid-masjid serta surau-surau di Republik Indonesia, Sabah dan Sarawak; selain mengadakan infak kepada guru-guru yang telah kembali ke rahmatullah, di samping akan terus aktif melaksanakan aktiviti-aktiviti untuk dunia dan akhirat.
Majlis itu turut diserikan dengan bacaan doa, Sayyidul Istighfar, Selawat Tafrijiyyah, Dikir Marhaban, Doa Penutup dan diakhiri dengan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Allah Peliharakan Sultan.
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kenang-kenangan kepada para jemputan yang hadir melalui nama bertuah yang disampaikan oleh tetamu khas.

