Thursday, November 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesara kerajaan Sabah terima bonus RM1,000

    KOTA KINABALU, 27 NOV – Pesara kerajaan Sabah akan menerima bonus sebanyak RM1,000 dan dibayar sebelum Aidilfitri tahun depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

    Mengumumkan perkara itu, beliau berkata kerajaan negeri mengambil keputusan berkenaan selepas mendengar permintaan daripada pesara selain menghargai jasa serta khidmat bakti mereka selama ini kepada negeri Sabah.

    “Dalam pembentangan belanjawan (negeri) yang lepas, hanya penjawat awam yang mendapat bonus. Saya rasa tidak adil untuk tidak memberi bonus kepada pesara kerajaan negeri yang telah berkhidmat bakti kepada kerajaan negeri selama ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-47 Koperasi Pekerja-pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) di sini hari ini.

    Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2025 pada 15 Nov mengumumkan bantuan khas kewangan atau bonus sebulan gaji dengan bayaran minimum RM3,000 kepada semua penjawat awam Sabah.

    Sementara itu, Hajiji mahu KOPEKS terus merancang perniagaan baharu atau mempelbagaikan lagi perniagaan koperasi khususnya dalam era mencabar masa kini serta memastikan pengurusan yang cekap, komited dan berintegriti.

    Beliau berkata pelan strategi perniagaan dirancang KOPEKS bagi 2024-2026 meliputi bidang perniagaan, pelaburan dan pembangunan perniagaan termasuk membangunkan dua bidang tanah di Menggatal dan Lahad Datu untuk perumahan yang boleh dibeli oleh ahli koperasi itu serta orang ramai.

    Hajiji berkata KOPEKS yang kini sudah mencapai usia 61 tahun dan sebagai koperasi tertua di negeri ini perlu terus kekal relevan dan menjadi pilihan kepada penjawat awam, malah pernah mencapai hingga 20,000 ahli dalam era akhir 70an dan 80an. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda