Wednesday, November 20, 2024
32.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesara polis bina rumah kayu kekal tradisi

    GUA MUSANG – Walaupun sudah puluhan tahun menetap di luar negeri Kelantan demi tugas sebagai anggota polis, seorang warga emas Orang Asli daripada suku Mendriq tetap mengekalkan gaya hidup kaumnya dalam kehidupan seharian.

    Setelah berkhidmat selama 37 tahun sejak 15 Mac 1985, Razman Periyak, 63, membuat keputusan berhijrah dari Perak ke komuniti asalnya di Kampung Orang Asli Kuala Lah di sini, selepas bersara pada 1 Jan 2022.

    Umur bukan penghalang untuknya merealisasikan impian membina sendiri sebuah rumah kayu kecil untuk lima anak dan sembilan cucunya berkumpul apabila pulang ke kampung bagi memastikan adat resam suku Mendriq terus hidup dalam keluarganya.

    Rumah tradisional berkenaan yang dikelilingi rumah moden berdinding simen disumbangkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), menarik perhatian petugas Bernama yang sedang membuat liputan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri ketika membuat tinjauan kehidupan Orang Asli.

    Menurut Razman, dia memilih untuk merobohkan rumah asal yang diperbuat daripada buluh sebelum membina rumah kayu tiga bilik yang lebih selesa dengan bantuan anak saudaranya.

    Umur bukan penghalang untuk Razman Periyak merealisasikan impian membina sendiri rumah kayu kecil untuk lima anak dan sembilan cucunya. – Bernama
    Razman Periyak duduk di anak tangga rumahnya yang baharu siap dibina setelah puluhan tahun menetap di luar negeri Kelantan demi tugas. – Bernama
    Gambar Bernama

    “Rumah asal sebelum ini tidak ada dinding, jadi kami guna unggun api di bawah rumah untuk halau nyamuk.

    Bila menantu balik kampung pun tidur di dalam rumah yang tak ada dinding, sebab itu saya bina rumah ini supaya lebih selesa untuk berkumpul,” katanya.

    Razman berkata pembinaan rumah itu yang menggunakan teknik seni bina Orang Asli bermula pada 18 Mac 2024 dan siap sepenuhnya minggu lepas dengan memanfaatkan sumber hutan seperti kayu Bayur dan hanya melibatkan kos kurang RM8,000.

    Sebuah pangkin turut dibinanya di hadapan rumah itu dilengkapi meja dan kerusi panjang daripada buluh untuk digunakan ketika jamuan keluarga atau kenduri yang boleh memuatkan hingga 20 orang pada setiap masa.

    Selain bergantung pada pencen bulanan, Razman turut mencari akar kayu untuk dijual sebagai ubat tradisional kepada masyarakat setempat.

    Sementara itu, Tok Batin kampung berkenaan, Ali Lateh berkata kampung itu dibuka kira-kira 1990an, selepas penduduk berpindah dari penempatan asal yang jauh sikit ke pedalaman.

    “Dulu, kita duduk berdekatan dengan sungai, selepas jalan di sini siap dibuat pada 1982, kita pindah ke kampung sekarang pada 1990, supaya dekat sikit dengan jalan,” katanya.

    Ali berkata buat masa ini, status hak milik tanah kampung berkenaan masih di bawah Kerajaan Negeri Kelantan dan JAKOA membantu membayar sewa tahunan kepada kerajaan negeri.

    “Memang kita berusaha untuk tukar hak milik tanah kepada status persendirian, status tanah yang ada sekarang ini tergantung, kita tak ada hak untuk tanah di sini, kita duduk di sini pun atas inisiatif JAKOA,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda