Thursday, March 20, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesara rugi hampir RM400,000 akibat penipuan dalam talian

    SIBU, 19 MAC – Seorang pesara kerugian RM371,199 selepas terperdaya dengan tawaran pulangan lumayan daripada perniagaan dalam talian yang tidak wujud sejak bulan lepas.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP, Zulkipli Suhaili berkata lelaki berusia lingkungan 60an itu membuka akaun perniagaan dalam talian menerusi aplikasi Amazon dan TikTok setelah diperkenalkan oleh seorang individu melalui aplikasi WhatsApp pada 26 Februari lepas.

    “Mangsa telah dimaklumkan oleh pihak khidmat pelanggan bahawa dengan menyertai perniagaan itu, dia akan memperoleh keuntungan lumayan iaitu 50 peratus bagi akaun Amazon dan akan dinaik taraf ke lima bintang, manakala 25 peratus bagi akaun TikTok,” katanya dalam satu kenyataan media.

    Tertarik dengan tawaran berkenaan, mangsa telah membuat pemindahan wang bagi tujuan memproses pesanan pelanggan.

    Sebanyak 20 transaksi pemindahan wang telah dilakukan antara 11 hingga 17 Mac ke dalam lapan akaun bank tempatan yang berlainan, melibatkan jumlah keseluruhan RM371,199.

    Beliau berkata selepas beroperasi dua minggu, mangsa mendapati dirinya tidak dapat memproses pesanan pelanggan kerana baki wang dalam kedua-dua akaun yang didaftarkan tidak mencukupi menyebabkan mangsa tidak dapat mengakses akaun terbabit.

    Zulkipli berkata mangsa kemudian diarahkan membuat pemindahan sejumlah wang ke dalam e-dompet akaun berkenaan bagi mengaktifkan semula akaunnya.

    “Mangsa menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan dan membuat laporan polis semalam,” katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda