Thursday, February 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesara rugi RM1.7 juta ditipu ‘Profesor’

    SHAH ALAM, 13 FEB – Seorang pesara swasta kerugian RM1.7 juta selepas terpedaya dengan prospek pelaburan diberikan seorang individu yang menggunakan gelaran ‘Profesor’. 

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata mangsa berusia 67 tahun itu, pada Ogos lepas terjumpa platform pelaburan saham dikenali sebagai Pelaburan UVKXE di laman Facebook dan telah dimasukkan ke dalam kumpulan perbualan WhatsApp ditadbir oleh individu dengan nama Prof Lim dan Branda Ng. 

    Beliau berkata mangsa dijanjikan pulangan lumayan dan diyakinkan untuk membuat pelaburan saham dalam dan luar negara, dengan warga emas itu telah diminta untuk membuat 16 transaksi melibatkan enam akaun bank berbeza berjumlah RM1.7 juta. 

    “Pada Oktober lepas, Prof Lim telah menyatakan pelaburan di Malaysia dan Amerika Syarikat telah mencapai kemuncak lalu mencadangkan mangsa melabur dalam pasaran mata wang bitcoin dan kripto.

    “Mangsa sedar telah diperdaya apabila dia gagal memperoleh keuntungan seperti yang dijanjikan sekali gus kerugian RM1.7 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata siasatan awal mengenal pasti modus operandi yang digunakan adalah dengan memperdayakan mangsa menerusi iklan di Facebook. 

    Hussein menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh dengan tawaran pelaburan dalam media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah, khususnya menerusi aplikasi telefon bimbit serta tiada kelulusan Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti. – Bernama 

    Pesara rugi RM1.7 juta ditipu ‘Profesor’. – Gambar Pexels
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda