JOHOR BAHRU, 12 MEI – Seorang pesara berusia 73 tahun kerugian RM459,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud yang beroperasi secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata mengikut laporan polis dibuat mangsa semalam, kejadian bermula Disember lalu apabila lelaki itu menerima tawaran pelaburan saham syarikat antarabangsa menerusi aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali.
“Mangsa dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp dinamakan ‘PJT Academy’ yang kononnya mengajar cara jual beli saham menerusi aplikasi ‘USMSG’. Suspek menawarkan pelaburan yang didakwa beroperasi di Malaysia dan China dengan pulangan keuntungan antara 10 hingga 200 peratus,” katanya.
Raub berkata mangsa yang tertarik dengan tawaran itu telah melakukan 23 transaksi berjumlah RM459,000 daripada akaun HSBC miliknya ke 10 akaun bank berbeza dari 10 Januari hingga 17 April.
Beliau berkata awalnya mangsa menerima pulangan sebanyak RM18,360 dan mendorongnya untuk terus melabur, namun apabila mangsa diminta membuat bayaran ‘wang proses’ untuk mengeluarkan keuntungan selanjutnya mangsa gagal menerima pulangan dijanjikan. – Bernama
