Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesara tentera buka syarikat percetakan sendiri

    Bukan mudah untuk menghapuskan stigma orang ramai terhadap pesara tentera yang biasanya dianggap tidak lagi memberi sumbangan kepada negara dan masyarakat sebaik persaraan di samping gemar menyendiri.

    Malahan ada juga yang bersikap prejudis atau prasangka bahawa ramai daripada kalangan pesara ini yang enggan bergaul dengan anggota masyarakat disebabkan gaya hidup seharian mereka sebelum ini yang sentiasa terikat dengan bentuk arahan dan misi ketenteraan.

    Namun stigma ini menjadi pembakar semangat buat bekas Pegawai Waran 1 (PW1) Wan Mohd Zamri Wan Abu Bakar, 55, untuk terus berusaha memerah keringat, mencari rezeki dengan menawarkan perkhidmatan grafik dan percetakan bagi manfaat masyarakat setempat.

    Beliau tidak pernah sekalipun rasa menyesal untuk berkecimpung dalam bidang itu, memandangkan matlamat utamanya adalah untuk membantu seramai mungkin usahawan dan peniaga kecil di sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur khususnya.

    Untuk rekod, beliau berkhidmat selama 22 tahun dengan Unit pertama 31 Rejimen Artileri Pertahanan Udara Diraja di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, dan berakhir di Pusat Latihan Artileri Diraja Kem Segenting Port Dickson, Negeri Sembilan.

    Wan Mohd Zamri mula membuka syarikat Galaksi Wany Enterprise di Port Dickson Sunggala Gateway sebaik sahaja bersara pada tahun 2010. – Bernama

    Berasal dari Tanah Merah Kelantan, Wan Mohd Zamri menjelaskan, beliau mula membuka syarikat Galaksi Wany Enterprise di Port Dickson Sunggala Gateway sebaik sahaja bersara pada tahun 2010, dengan modal permulaan menggunakan hasil daripada duit pencennya bagi tujuan melakukan pengubahsuaian kedai serta membeli mesin percetakan jenis inkjet.

    Beliau memilih untuk menawarkan servis berkenaan memandangkan terdapat cukup ramai peniaga kecil-kecilan di tepi jalan sepanjang pantai Port Dickson yang memerlukan bantuan promosi perniagaan, apatah lagi tidak banyak syarikat grafik dan percetakan yang wujud di sekitar kawasan itu.

    “Saya terbayangkan warga emas yang berniaga goreng pisang dan balang air di tepi jalan namun tiada papan tanda perniagaan dan papan tanda arah bagi mempromosikan produk yang mereka jual.

    Di sinilah timbulnya idea untuk membantu masyarakat di sekitar sini pada awalnya.

    “Tidak lama selepas saya membuka syarikat di sini, makin hari makin ramai pelanggan daripada pelbagai latar belakang yang mengambil servis grafik dan percetakan saya.

    Antaranya, restoran, politeknik, ibu pejabat polis, dan juga beberapa hotel terkemuka seperti Hotel PNB Ilham Resort dan Hotel Klana Beach Resort, Hotel Seri Malaysia, di samping sekolah sekitar Port Dickson dan kem tentera,” katanya kepda Bernama, ketika ditemui baru-baru ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda