DONETSK, 19 MAC – Pada usia 16 tahun, Pavel Stepchenko menyertai sekolah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Rusia sebagai pelajar
Kemudian pada usia 23 tahun, dia sudah bersara dan menjadi pesara termuda negara itu, menurut laporan Oddity Central.
Kebiasaannya, persaraan dikaitkan dengan usia tua, dan belia hari ini mengimpikan untuk bersara muda sekitar umur 40 atau lebih untuk menikmati kehidupan terbaik mereka.
Tetapi Pavel berjaya melakukan sesuatu yang kebanyakannya hanya boleh mimpikan iaitu bersara dengan pencen penuh pada awal 20-an.
Kisah Pavel adalah suatu kisah yang luar biasa. Pada mulanya, dia mendaftar di institusi pendidikan Kementerian Dalam Negeri Rusia pada usia 16 tahun dan selepas lima tahun belajar dengan rajin, dia berkhidmat di bahagian wilayah sistem hal ehwal dalaman.
Lelaki muda dari Donetsk itu hanya bekerja di sana selama dua tahun sahaja. Pada usia 23 tahun, dia secara rasminya bersara dan mengambil kesempatan sepenuhnya daripada peruntukan khas yang menyatakan bahawa untuk setiap bulan perkhidmatan dalam tempoh undang-undang tentera, seseorang pesara menerima tiga bulan tempoh perkhidmatan yang dikreditkan.
Pada November 2023, mengikut undang-undang Persekutuan Rusia pada masa itu, Pavel Stepchenko memohon untuk bersara dan telah dianugerahkan pencen penuh untuk tempoh perkhidmatannya.
Rekod luar biasa ini telah disahkan secara rasmi oleh pakar dari Agensi Pendaftaran Rekod Antarabangsa INTERRECORD dan direkodkan dalam Daftar Rekod Rusia, satu badan pendaftar kebangsaan pencapaian cemerlang, juga dikenali sebagai ‘Buku Rekod Rusia’.
Bagi kebanyakan orang, persaraan awal Stepchenko adalah satu peristiwa luar biasa, tetapi menurut media Rusia, ia adalah, ‘bukti fleksibiliti dan keupayaan sistem perlindungan sosial di Rusia”. – Agensi
