Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 25 Jun – Bagi membantu golongan ibu-ibu tunggal, saudara baru yang tidak mempunyai pekerjaan dan anak-anak yatim, salah seorang ahli Persatuan Saudara-saudara Baru Daerah Tutong (PESATU) telah menjalankan Projek Ehsan Ramadan PESATU di sepanjang bulan Ramadan ini.
Hajah Rohaidah Anizah binti Muhd Kamsani selaku setiausaha agung PESATU, ketika ditemu bual berkata, ini merupakan kali pertama projek berkenaan diadakan.
Ia juga merupakan lanjutan daripada projek PESATU iaitu mengumpul pakaian lalu diserahkan kepada ibu tunggal dan anak yatim daripada kalangan saudara-saudara baru yang pernah diadakan baru-baru ini.
Menurut Hajah Rohaidah lagi, projek berkenaan timbul daripada rasa simpati beliau kepada ibu tunggal dan anak-anak yatim. Oleh sebab beliau tidak mampu memberikan bantuan dari segi kewangan, maka beliau membuat projek minta ehsan daripada orang ramai yang menghulurkan sumbangan sedekah yang mana pada kali ini projek tersebut telah mengumpul minuman dan biskut raya.
Pada tahun ini, beliau berjaya menyerahkan sumbangan tersebut kepada dua orang ibu tunggal dan 14 orang anak yatim yang tinggal di Daerah Tutong memandangkan penyerahan sumbangan daripada orang ramai sedikit sahaja.

Di kesempatan itu, beliau menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada hamba-hamba Allah yang telah memberikan sokongan bagi menghulurkan sumbangan serta menjayakan projeknya yang bertujuan bagi membantu serta meringankan bebanan ibu tunggal yang tidak bekerja dan untuk anak-anak yatim.
Beliau juga mendoakan pemberi sumbangan tersebut akan diberikan ganjaran pahala dan keberkatan rezeki kepada penyumbang.
Selain itu, beliau juga memberikan ucapan terima kasih kepada PESATU kerana memberikan kepercayaan kepadanya dan memberi peluang untuknya melaksanakan projek yang dijalankan di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.