Pesawat 737 MAX dibenarkan terbang minggu depan

PARIS, 19 JAN – Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) merancang membenarkan Boeing 737 MAX terbang sekali lagi pada minggu depan, 22 bulan selepas kapal terbang itu tidak dibenarkan terbang berikutan dua kemalangan teruk.

“Bagi kami, MAX boleh terbang sekali lagi mulai minggu depan,” selepas satu perintah dikeluarkan, kata pengarah EASA Patrick Ky pada sidang video.

“Kami telah mencecah tahap di mana empat permintaan utama kami telah pun dipenuhi,” kata Ky semasa sidang video, dianjurkan oleh persatuan wartawan penerbangan Jerman.

MAX tidak dibenarkan terbang pada Mac 2019 selepas dua nahas yang membunuh 346 orang – nahas Lion Air 2018 di Indonesia dan nahas Ethiopian Airlines pada tahun berikutnya.

Siasatan berkata punca utama kedua-dua nahas adalah kerosakan sistem pengendalian penerbanan dikenali sebagai Sistem Tambahan Ciri-Ciri Pengendalian, atau MCAS.

Bertujuan mengelak kapal terbang daripada terpegun semasa ia turun, sistem automatik itu sebaliknya memaksa muncung kapal terbang menjunam ke bawah.

Keputusan itu menjerumus syarikat Boeing dalam krisis, dengan lebih 650 tempahan untuk 737 MAX dibatalkan sejak tahun lalu.

Kelulusan EASA bermakna syarikat penerbangan di seluruh dunia sekali lagi boleh mula menggunakan 737 MAX untuk penerbangan ke dan dari Eropah. – AFP

Gambar fail menunjukkan jet Boeing 737 MAX, dikendalikan oleh ketua Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Steve Dickson, bersedia mendarat di Seattle. – AP