NEW DELHI, 12 JUN – Sebuah pesawat Air India yang dalam penerbangan ke London membawa 242 orang termasuk 12 anak kapal terhempas pada Khamis sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad di negeri Gujarat, barat India.
Penerbangan AI171 itu berlepas pada 1:38 tengah hari waktu tempatan, menurut kenyataan Air India.
Pesawat Boeing 787-8 yang terlibat dalam nahas itu membawa 169 warga India, 53 warga British, seorang warga Kanada dan tujuh warga Portugal.

“Mangsa yang cedera sedang dibawa ke hospital berhampiran. Kami juga telah membuka talian bantuan khas untuk penumpang di nombor 1800 5691 444 bagi mendapatkan maklumat lanjut. Air India memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan berhubung insiden ini,” kata syarikat penerbangan itu dalam kenyataan.
Setakat ini, jumlah mangsa yang terselamat masih belum diketahui.
“Kami berada dalam tahap kesiapsiagaan tertinggi. Saya sendiri memantau keadaan dan telah mengarahkan semua agensi penerbangan dan tindak balas kecemasan untuk bertindak segera dan secara terselaras,” kata Menteri Penerbangan Awam India Ram Mohan Naidu Kinjarapu menerusi hantaran di platform X.
“Pasukan penyelamat telah digerakkan, dan segala usaha sedang dilakukan bagi memastikan bantuan perubatan dan sokongan kecemasan segera sampai ke lokasi kejadian,” katanya lagi.
Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel (SVPIA) di Ahmedabad dihentikan selepas insiden itu.
“Semua operasi penerbangan ditangguhkan sementara sehingga diberitahu kelak,” kata jurucakap lapangan terbang. – Bernama