MANILA, 28 JUN – Sebuah pesawat Vietjet yang membawa 214 orang penumpang terpaksa membuat pendaratan tidak berjadual dan selamat mendarat di bahagian utara Filipina awal pagi tadi selepas mengalami masalah teknikal.
Semasa pendaratan tersebut, tiada sebarang penumpang dan kru dilaporkan mengalami kecederaan.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina menyatakan bahawa Airbus A321 itu sedang dalam perjalanan dari Vietnam menuju bandar Incheon, Korea Selatan, apabila ia mengalami masalah dan terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Laoag, di wilayah Ilocos Norte.
“Juruterbang tidak mengisytiharkannya sebagai kecemasan. Dia memaklumkan menara mengenai kesulitan disebabkan oleh masalah teknikal. Tiada kerosakan enjin dilaporkan,” menurut jurucakap agensi penerbangan awam, Eric Apolonio kepada The Associated Press.
Semua penumpang dibawa ke lobi lapangan terbang dan menunggu untuk pesawat gantian yang dijangka tiba lewat hari ini, kata Apolonio. – AP
