TOKYO, 14 OKT – Sebuah pesawat All Nippon Airways (ANA) berpatah balik ke Lapangan Terbang Haneda di Tokyo kira-kira sejam selepas berlepas kelmarin, dengan pihak berkuasa pengangkutan berkata pesawat itu mungkin telah melanggar lampu landasan, lapor agensi berita Kyodo.
Lampu berkenaan didapati rosak, manakala Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun mengesyaki tayar pesawat Boeing 737 itu terkena lampu berkenaan semasa berlepas.
Penerbangan 639 yang menuju ke Iwakuni, di wilayah Yamaguchi berlepas dari Haneda sekitar 8:55 malam, namun terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang sekitar 10 malam.
Hasil pemeriksaan mendapati tayar pesawat mengalami kerosakan. – Bernama


