WASHINGTON, 30 JAN – Sebuah pesawat penumpang yang membawa 64 orang terhempas ke Sungai Potomac di Washington, kelmarin, selepas bertembung di udara dengan sebuah helikopter tentera.
Media Amerika Syarikat melaporkan beberapa mayat telah ditemui dari perairan yang gelap dan hampir beku itu.
Operasi mencari dan menyelamat berskala besar sedang dijalankan, dengan penyelam dilihat menyelam ke dalam Sungai Potomac yang bersalji di bawah sinaran lampu berkuasa tinggi untuk mencari bangkai kedua-dua pesawat.
Ketua Bomba Washington, John Donnelly, berkata dalam satu sidang media bahawa pasukan kecemasan yang terdiri daripada kira-kira 300 orang sedang bekerja dalam keadaan yang sangat mencabar dan memberi harapan tipis adanya mangsa terselamat.
“Kami akan terus berada di sini selama mana yang diperlukan,” kata Datuk Bandar Washington, Muriel Bowser, kepada pemberita.
Memetik sumber tempatan, CBS News melaporkan sekurang-kurangnya 19 mayat telah ditemui, manakala NBC melaporkan lebih puluhan mayat ditemui.
Persatuan US Figure Skating mengesahkan bahawa beberapa atlet, jurulatih, dan pegawai sukan berada di dalam pesawat tersebut.
Sementara itu, pegawai di Moscow mengesahkan pasangan suami isteri Rusia, Evgenia Shishkova dan Vadim Naumov – juara dunia acara berpasangan tahun 1994 – turut berada dalam pesawat tersebut.
“Malangnya, laporan sedih ini telah disahkan. Rakyat kami yang lain juga berada di sana,” kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov. – AFP