Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesawat JAL terbakar selepas bertembung di landasan

    Sebuah pesawat penumpang Japan Airlines (JAL) dilihat terbakar di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo, hari ini. – AFP

     

    TOKYO, 2 Jan – Sebuah pesawat Japan Airlines (JAL) terbakar di landasan Lapangan Terbang Haneda, Tokyo hari ini selepas nampaknya berlanggar dengan pesawat pengawal pantai, menurut laporan media.

    Imej-imej di penyiar NHK menunjukkan pesawat itu bergerak di sepanjang landasan sebelum letupan besar api dari bawah dan belakangnya.

    Kesemua 367 penumpang dan 12 anak kapal di dalam pesawat Airbus itu telah dipindahkan, lapor NHK. Mereka yang berada di atas kapal itu termasuk lapan orang kanak-kanak, lapor Kyodo News.

    NHK melaporkan bahawa seorang daripada enam anak kapal dalam pesawat pengawal pantai itu selamat tetapi lima yang lain tidak dapat dikesan.

    Punca kejadian tidak jelas, tetapi laporan televisyen mengatakan bahawa Airbus itu bertembung dengan pesawat pengawal pantai.

    Agensi berita Jiji melaporkan, pesawat pengawal pantai itu dijadualkan berlepas untuk membantu usaha menyelamat susulan gempa bumi besar di tengah Jepun, kelmarin.

    Laporan mengatakan bahawa pesawat itu baru tiba dari lapangan terbang Sapporo di pulau Hokkaido di utara Jepun.

    Seorang pegawai pengawal pantai di Lapangan Terbang Haneda, salah satu yang paling sibuk di dunia, berkata mereka “menyemak butiran”.

    “Tidak jelas sama ada berlaku perlanggaran. Tetapi yang pasti pesawat kami terlibat,” katanya kepada AFP.

    JAL menyatakan pesawat penumpang itu sama ada bertembung dengan pesawat lain di landasan atau laluan teksi selepas ia mendarat, lapor Kyodo.

    Rakaman yang dirakam oleh penumpang di dalam pesawat menunjukkan api datang dari bawah sebelum kabin dipenuhi asap. AFP tidak dapat mengesahkan rakaman itu. – AFP

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda