JAKARTA, 22 JUN – Sebuah pesawat yang membawa ratusan jemaah haji pulang ke Indonesia dari Timur Tengah telah diarahkan melencong kelmarin berikutan ancaman bom, menurut kenyataan kementerian pengangkutan dan polis.
Kejadian tersebut merupakan insiden kedua seumpamanya terjadi dalam tempoh seminggu.
Penerbangan Saudia Airlines SV5688 berlepas dari Jeddah, Arab Saudi ke bandar Oman, Muscat, sebelum meneruskan perjalanan ke Indonesia dan dijadualkan untuk mendarat di Surabaya, sebuah bandar di pulau utama, Jawa.
Namun, pegawai kawalan trafik udara di Jakarta telah menerima panggilan mengenai ancaman bom terhadap penerbangan itu, menyebabkan pesawat tersebut terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu di bandar Medan pada pagi kelmarin, menurut kenyataan Direktorat Jeneral Penerbangan Awam.
Ketua pihak berkuasa lapangan terbang wilayah, Asri Santosa berkata dalam satu kenyataan pegawai keselamatan sedang menjalankan pemeriksaan ke atas pesawat sejurus ketibaannya, namun operasi di lapangan terbang di pulau Sumatera itu masih berjalan seperti biasa.
Kesemua 376 penumpang, yang terdiri daripada jemaah haji dari Jawa, serta 13 kru berada dalam keadaan selamat di lapangan terbang, kata jurucakap polis Sumatera Utara, Ferry Walintukan kepada AFP.
Beliau turut memaklumkan, pasukan pemusnah bom telah dihantar untuk memeriksa pesawat berkenaan.
Menurut Asri, para penumpang dijangka menyambung semula perjalanan mereka hari ini.
Pada Selasa lalu, sebuah lagi pesawat yang membawa 442 jemaah haji pulang dari Arab Saudi ke Jakarta turut dilencongkan ke Medan selepas pihak berkuasa menerima satu e-mel ancaman bom. – AFP
