Khamis, November 20, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesawat kargo UPS terhempas, ragut tujuh nyawa

    WASHINGTON, 5 NOV – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut manakala beberapa lagi cedera selepas sebuah pesawat kargo milik syarikat UPS terhempas sejurus berlepas kelmarin dari Lapangan Terbang Antarabangsa Louisville di Kentucky, sebelum meletup dan terbakar apabila ia merempuh beberapa premis perniagaan berhampiran lapangan terbang, menyebabkan kepulan asap hitam tebal menyelubungi kawasan itu.

    Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) memaklumkan bahawa pesawat jenis McDonnell Douglas MD-11 yang berlepas menuju ke Hawaii itu terhempas sekitar jam 5:15 petang waktu tempatan.

    Gabenor Kentucky, Andy Beshear, memberitahu dalam satu sidang media bahawa jumlah kematian dan kecederaan dijangka meningkat, dengan angka semasa hanya merangkumi mangsa di darat yang telah dikenal pasti setakat ini.

    Syarikat UPS dalam satu kenyataan berkata, tiga anak kapal berada di dalam pesawat berkenaan, sambil menambah, “kami masih belum mengesahkan sebarang kecederaan atau korban jiwa.”

    Beshear berkata, status ketiga-tiga anak kapal tersebut masih belum diketahui dan dia menyuarakan kebimbangan yang mendalam terhadap nasib mereka.

    Asap dan api kelihatan marak dari lokasi nahas pesawat kargo UPS di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Louisville di Louisville, Kentucky, pada 4 November. – AFP

    Punca nahas sedang disiasat oleh FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB).

    Rakaman video yang dikongsi oleh stesen penyiar tempatan WLKY menunjukkan enjin kiri pesawat terbakar ketika ia cuba untuk berlepas.

    Louisville berfungsi sebagai hab udara utama bagi UPS di Amerika Syarikat, menurut lembaran fakta syarikat tersebut.

    Gergasi perkhidmatan penghantaran bungkusan itu beroperasi di lebih 200 negara dengan hampir 2,000 penerbangan setiap hari, menggunakan armada 516 buah pesawat.

    UPS memiliki 294 daripadanya manakala selebihnya disewa melalui kontrak jangka pendek atau piagam penerbangan.

    Rakaman udara di lokasi kejadian menunjukkan laluan panjang serpihan pesawat ketika pasukan bomba berusaha memadamkan api, dengan asap tebal masih kelihatan di kawasan bencana.

    Beshear berkata, pesawat itu merempuh sebuah kemudahan kitar semula petroleum ‘secara langsung’. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda