WASHINGTON, 22 MEI – Sebuah pesawat kecil yang dipercayai dalam perjalanan ke Hawaii terhempas di pantai California, mengorbankan jurutebang dan pembantunya.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat dalam satu kenyataan di Twitter pada Sabtu berkata agensi itu sedang menyiasat nahas pesawat Viking Air DHC-6-400 Twin Otter di Lautan Pasifik, kira-kira 64 km dari pantai Half Moon Bay.
Data penerbangan menunjukkan pesawat itu berlepas dari lapangan terbang Santa Rosa-Sonoma County sekitar 8 pagi dan terbang ke barat daya selama dua jam ke arah Honolulu sebelum membelok dengan juruterbang melaporkan kecemasan, lapor United Press International (UPI), memetik The Mercury News.
Tidak jelas sama ada pesawat itu merancang terbang ke Honolulu yang terletak lebih 3,851 km dari lapangan terbang itu.
Spesifikasi teknikal untuk Twin Otter menunjukkan pesawat itu mampu terbang pada jarak maksimum 1,814 km, kurang daripada separuh jarak ke Hawaii, kecuali jika pesawat itu mempunyai tangki jarak jauh.
Pengawal Pantai AS mengesan pesawat itu tenggelam kira-kira 64 km dari San Francisco dengan juruterbang dan pembantu juruterbangnya maut, lapor The Mercury News.
Tiada penumpang lain di atas pesawat itu. – Bernama