BEIJING, 26 Feb – Pesawat penumpang terbesar China C919 telah menerima tempahan terbaharu sebanyak 30 dari sebuah syarikat pajakan tempatan yang membawa kepada jumlah tempahan secara keseluruhan sebanyak 815 buah.
Perbadanan Pesawat Komersial China (COMAC) telah memeterai perjanjian dengan Huarong Financial Leasing Co., Ltd dari China bagi pembelian sebanyak 30 buah pesawat C919 dan 20 buah pesawat ARJ21 hari ini di Beijing.
Setakat ini, C919 telah menerima tempahan daripada 28 pembelinya yang datang dari dalam dan luar negara. Manakala ARJ21 telah menerima tempahan sebanyak 453 dari 21 pembelinya.
China Huarong Financial Leasing Co., Ltd merupakan subsidiari dari Huarong Asset Management Co., Ltd iaitu salah sebuah syarikat pengurusan aset yang terbesar di China.

“Kami menjangkakan untuk mewujudkan hubungan kerjasama yang komprehensif bersama COMAC,” kata pengerusi Huarong Asset Management Co., Ltd, Lai Xiaomin.
ARJ21 keluaran COMAC merupakan sebuah pesawat serantau yang terdiri dari 90 kerusi kelas ekonomi telah dihantar kepada syarikat penerbangan Chengdu pada hujung tahun 2015. Sehingga sekarang, ia telah membawa kira-kira seramai 49,000 penumpang, tambah syarikat berkenaan.
Pesawat C919 berada dalam fasa ujian penerbangan berikutan penerbangan sulungnya yang berjaya pada 5 Mei 2017. Pesawat itu dibangunkan untuk menyaingi pesawat pesaing Airbus A320 dan Boeing B737 yang terbaharu.
COMAC juga telah menubuhkan usaha sama dengan sebuah syarikat Rusia untuk membina jet penumpang yang lebar CR929 dan ia sudah pun dilaksanakan sepenuhnya. – Xinhua