SEOUL, 29 DIS – Sebuah pesawat terbakar selepas terbabas dari landasan di lapangan terbang di Korea Selatan hari ini, mengorbankan sekurang-kurangnya 28 orang di dalamnya, kata pegawai kecemasan.
Kebakaran pesawat yang membawa 181 orang berkenaan tercetus apabila terbabas dari landasan sebaik mendarat dan melanggar penghadang.
Pejabat kecemasan negara itu berkata gear pendaratannya kelihatan tidak berfungsi.
Rakaman daripada televisyen YTN menunjukkan pesawat Jeju Air itu tergelincir melintasi landasan dengan gear pendaratannya kelihatan masih tertutup dan seterusnya bertembung dengan dinding konkrit.
Kementerian Pengangkutan berkata, kejadian berlaku pada jam 9:03 pagi waktu tempatan.
Agensi Bomba Kebangsaan berkata api hampir dapat dipadamkan sementara pegawai masih cuba menarik orang ramai dari pesawat penumpang Jeju Air di lapangan terbang di bandar selatan Muan.
Sekurang-kurangnya 28 orang maut dalam kebakaran itu, kata agensi itu. Pekerja kecemasan menarik keluar dua orang — seorang penumpang dan seorang anak kapal. 32 trak bomba dan beberapa helikopter dikerahkan untuk mengawal kebakaran.
Pegawai kecemasan berkata mereka sedang meneliti punca kebakaran.
Stesen TV tempatan menyiarkan rakaman yang menunjukkan asap hitam yang tebal berkepul-kepul keluar dari pesawat yang diselubungi api.
Timbalan Perdana Menteri Choi Sang-mok mengarahkan pegawai untuk menggunakan semua sumber yang ada untuk menyelamatkan penumpang dan anak kapal, menurut agensi berita Yonhap.
Pejabat Perdana Menteri berkata ketua setiausahanya, Chung Jin-suk, akan mempengerusikan mesyuarat tergempar antara kakitangan kanan presiden susulan kejadian untuk membincangkan nahas berkenaan. – AP