TRIPOLI, 5 OGOS – Sebuah pesawat Libya nyaris-nyaris terkena tembakan ketika ia mendarat di lapangan terbang yang satu-satunya berfungsi di bandar Tripoli yang dilanda perang, kata para pegawai penerbangan.
“Kru dalam penerbangan dari Benghazi yang membawa 124 penumpang, mengelak daripada terkena pengeboman di Lapangan Terbang Antarabangsa Mitiga” pada malam kelmarin, tulis pengurusan lapangan terbang dalam Facebook.
Insiden itu memaksa lapangan terbang ditutup untuk trafik udara dan pelencongan penerbangan ke Misrata, kira-kira 200km ke timur, sehingga lewat malam semalam.
Tidak jelas dari mana datangnya bom tersebut dan tiada yang mengaku bertanggungjawab. Sementara itu, kira-kira 42 orang telah terbunuh dan puluhan lagi cedera hari ini dalam serangan udara di bandar selatan Libya, kata pegawai tempatan dan kerajaan yang diiktiraf PBB hari ini.
Kerajaan Persetujuan Kebangsaan (GNA) menuduh pasukan yang diketuai ketua tentera Khalifa Haftar melakukan serangan itu kelmarin di daerah kediaman bandar Morzuk.
Serangan itu mengakibatkan ’42 maut, lebih 60 cedera, manakala 30 lagi kritikal,” kata pegawai perbandaran Ibrahim Omar kepada AFP. GNA, dalam laman Facebooknya, mengecam serangan itu, yang disalahkan ke atas pasukan Haftar. – AFP