Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesawat Osprey dikerah ke pangkalan baharu

    HIROSHIMA, 9 JULAI – Tentera Jepun hari ini mula mengerahkan pesawat V-22 Ospreys di pangkalan tetap yang baru dibuka di barat daya Jepun, langkah terbaharu negara itu untuk memperkukuh pertahanannya berikutan ketegangan yang semakin meningkat di rantau tersebut.

    Pesawat pertama daripada 17 Ospreys selamat tiba di pangkalan baharunya di Camp Saga, kata Angkatan Darat Pertahanan Diri Jepun (JGSDF) hari ini.

    Langkah itu adalah sebahagian daripada pengukuhan ketenteraan Jepun, terutamanya di barat daya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sebagai menghalang tindakan maritim China yang semakin agresif di kawasan itu.

    Pesawat itu telah berpangkalan sementara di Kem Kisarazu, dekat Tokyo, sejak 2020 semasa pembinaan pangkalan dan kemudahan lain yang diperlukan. Baki pesawat berkenaan dijadualkan untuk menyelesaikan penempatan semula pada pertengahan Ogos, kata pegawai JGSDF.

    Dengan penempatan penuh dan tetap di Camp Saga, Jepun merancang untuk mengendalikan Ospreys dengan lebih rapat bersama unit kerahan pantas amfibia negara itu di Ainoura, di bandar laut berhampiran Sasebo, sebagai sebahagian daripada rancangan berterusan untuk memperkukuh pertahanan pulau terpencil di barat daya, kata Menteri Pertahanan, Jen Nakatani, kepada pemberita kelmarin.

    “Persekitaran keselamatan di sekitar Jepun semakin teruk dan menjadi tugas kami untuk mengukuhkan keupayaan pertahanan pulau,” katanya.

    Pasukan darat Camp Saga juga bekerjasama dengan 50 helikopter yang berpangkalan di satu lagi kem berdekatan, Metabaru, serta tentera udara dan tentera laut yang berpangkalan di kawasan itu.

    Penggunaan V-22 masih satu isu kontroversi di Jepun, terutamanya di selatan Jepun, berikutan beberapa siri kemalangan yang melibatkan pesawat itu. – AP

    Pesawat JGSDF, V-22 Osprey, tiba di Camp Saga di Saga, barat daya Jepun pada 9 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda