BERLIN, 16 Julai – Dua buah jet tentera udara Jerman dihantar lewat semalam untuk mengiringi dan membantu sebuah kapal terbang Korea mendarat di Stuttgart selepas ia terputus hubungan dengan pengawal lalu lintas udara.
Kapal terbang Korean Air dengan kira-kira 200 orang sedang terbang dari Seoul ke Zurich apabila komunikasi dengan pengawal di barat daya Jerman terputus.
Jet pejuang itu dihantar dan mengiringi kapal terbang ke Stuttgart tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini, beritahu jurucakap lapangan terbang kepada agensi berita Jerman DPA.
Penumpang terpaksa menghabiskan malam di katil kem di terminal sebelum dibawa ke Zurich dengan bas pada awal hari ini.
Pemintasan semalam adalah yang kedua dalam dua hari untuk tentera udara Jerman. Pada Jumaat, dua juruterbang dihantar untuk membantu sebuah kapal terbang Mesir tetapi masalah komunikasi berjaya dipulihkan sebelum jet pejuang tiba. – AFP