NEW DELHI, 10 JULAI – Sebuah pesawat pejuang F-35B Britain yang terkandas di lapangan terbang India selama hampir sebulan, dijangka pulang ke tanah air seawal minggu depan, kata pegawai India.
Pesawat pejuang itu, salah satu yang tercanggih di dunia dan menelan belanja sekitar AS$115 juta, terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Thiruvananthapuram di negeri selatan Kerala kerana masalah teknikal dan sedang dibaiki oleh jurutera United Kingdom (UK), kata pegawai. Pegawai itu bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media.
Pesawat itu dalam penerbangan di Laut Arab bulan lalu telah berdepan cuaca buruk dan tidak dapat kembali ke kapal pengangkut pesawat utama Tentera Laut Diraja, HMS Prince of Wales, kata pegawai.
Pesawat itu kemudiannya dilencongkan ke Thiruvananthapuram, di mana ia mendarat dengan selamat pada 14 Jun. Pegawai berkata jurutera berharap dapat membaiki pesawat itu dalam beberapa hari akan datang sebelum ia boleh terbang kembali ke UK minggu depan.
Suruhanjaya Tinggi British mengesahkan kepada The Associated Press pasukan kejuruteraan UK telah dikerahkan untuk menilai dan membaiki pesawat itu. – AP
