Monday, March 31, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesawat perang Israel serang Gaza

    BAITULMAQDIS, 26 OGOS – Pesawat perang Israel melakukan serangan ke atas gerakan Hamas yang memerintah Semenanjung Gaza awal hari ini sebagai respons kepada tembakan roket sebelumnya dari wilayah itu ke Israel, kata tentera dalam satu kenyataan.

    Pihak berkuasa Israel juga mengumumkan pengurangan punitif dalam aliran minyak ke stesen tenaga utama semenanjung itu, bermaksud pemotongan besar sudah pun mencatu bekalan elektrik.

    Tiga roket telah dilepaskan dari Gaza ke selatan Israel malam semalam, kata tentera Israel.

    “Tiga pelancaran dikenal pasti dari Semenanjung Gaza ke wilayah Israel,” katanya dalam satu kenyataan.

    “Dua daripadanya dipintas oleh sistem pertahanan udara Iron Dome.”

    Pasukan Israel merampas sebuah kereta dekat kawasan serangan, barat bandar Ramallah, Tebing Barat pada 25 Ogos. Letupan pada Jumaat berhampiran penempatan Tebing Barat yang Israel dakwa adalah serangan dari Palestin telah membunuh budak perempuan Israel berusia 17 tahun dan mencederakan abang dan ayahnya, kata pihak berkuasa Israel. – AP

    “Sebagai respons, sejurus selepas itu, jet pejuang pasukan udara Israel telah menyerang beberapa sasaran di kawasan tentera Hamas di utara Semenanjung Gaza, termasuk pejabat komander batalion Hamas,” menurut kenyataan hari ini.

    Sumber keselamatan Palestin mengatakan tiada korban jiwa dilaporkan.

    Kenyataan berasingan daripada unit kementerian pertahanan Israel, COGAT berkata pemotongan minyak terbaharu itu diarahkan secara peribadi oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, yang juga menteri pertahanan.

    “Perdana menteri dan menteri pertahanan, Benjamin Netanyahu, mengarahkan untuk mengurangkan separuh pemindahan minyak menerusi sempadan Kerem Shalom ke stesen tenaga di Gaza, yang berkuat kuasa pagi ini sehingga notis selanjutnya, menurutnya dalam Bahasa Inggeris.

    Sementara itu, Benjamin Netanyahu hari ini turut mengarahkan ratusan rumah peneroka baharu dibina berhampiran tapak serangan bom yang mengorbankan remaja Israel di Tebing Barat yang diduduki.

    Bom buatan sendiri pada Jumaat dekat penempatan Dolev, barat laut Ramallah, membunuh Rina Shnerb berusia 17 tahun dan mencederakan ayahnya Eitan dan abangnya Dvir dalam apa yang tentera gelar serangan pengganas.

    Pasukan keselamatan Israel telah menahan beberapa suspek Palestin namun berkata siasatan masih dijalankan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda